KUCHING: FITEC (Furniture Industry Technology Centre MARA) merancang beberapa inisiatif yang melibatkan belia Sarawak di bawah Bumiputera Workforce Skill Development seperti program Furniture Skill dan Employability Training Scheme (FURNSETS) untuk tahun 2021.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Henry Sum Agong mendedahkan melalui program itu, belia di Sarawak akan dilatih untuk menguasai kemahiran dalam pembuatan perabot upholsteri dan panel bagi memenuhi pasaran pekerjaan dalam industri perabot sekali gus meningkatkan kebolehpasaran untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik.
“Program Profession Furniture Industrial Training Skill (PROFITS) turut dirancang bagi melatih belia di seluruh negara menjadi pekerja mahir dalam pengendalian mesin perabot berteknologi tinggi,” katanya dalam Dewan Negara semalam bagi menjawab soalan Senator Zaiedi Suhaili mengenai perkara berkaitan.
Menurut Henry, peranan MARA dalam merangka kursus latihan kemahiran industri perabot boleh dikenal pasti melalui dua peringkat iaitu di bawah Institusi TVET MARA iaitu GIATMARA, Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).
“Seramai 52 pelatih dari Sarawak telah dilatih dan diberi kemahiran dalam bidang perabot sejak tahun 2008 melalui program Sijil Teknologi Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot,” katanya.
Manakala secara keseluruhan seramai 88 usahawan perabot dari Sarawak telah menyertai Program Latihan Perabot FITEC bagi melahirkan peserta yang berdaya saing, program ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan beberapa institusi di Sarawak antaranya, Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC)/Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Persatuan Pengusaha Perabot Bumiputera Sarawak (PERBUMI).