
KUCHING: Sungai bukan sekadar sumber air, tetapi nadi utama kehidupan, ekonomi dan identiti Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menggesa seluruh rakyat untuk menegaskan semula komitmen bersama dalam memelihara sungai-sungai negeri ini sebagai warisan penting yang perlu dipertahankan untuk generasi masa depan.
“Tanggungjawab melindungi laluan air negeri bukan hanya terletak pada kerajaan atau agensi berkaitan, malah memerlukan penyertaan aktif komuniti, sektor swasta dan seluruh masyarakat.
“Sempena Hari Sungai Sarawak 2025 ini, marilah kita menegaskan semula tanggungjawab bersama kita untuk melindungi laluan air ini yang bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang mewakili Premier Sarawak ketika merasmikan Persidangan Hari Sungai Sarawak 2025 bersempena Hari Sungai Sedunia, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri terus memperkukuh pelbagai inisiatif pembangunan sungai bagi memastikan laluan air Sarawak kekal selamat, bersih dan relevan dengan keperluan masa depan.
“Antara usaha terbaharu ialah pelaksanaan Projek Bukti Konsep Grab Electrik Sampan di Sungai Sarawak yang memperkenalkan penggunaan sampan elektrik sebagai alternatif mobiliti hijau dalam bandar.
“Grab Electrik Sampan ini merupakan interpretasi moden pengangkutan tradisi sungai kita.
“Ia menggunakan kuasa elektrik serta platform digital bagi meningkatkan keselesaan penumpang dan mengurangkan pelepasan karbon,” jelasnya.

Premier Sarawak turut menyatakan bahawa kerajaan negeri sedang menaik taraf keselamatan sungai melalui sistem pemantauan digital dan penjejakan vesel yang dilaksanakan oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), termasuk pendigitalan permit serta penyeragaman operasi pelabuhan sungai.
“Kita juga meneroka penggunaan vesel elektrik dan hibrid, terutamanya untuk perkhidmatan penumpang jarak dekat di Kuching dan bandar-bandar lain, supaya pengangkutan sungai lebih efisien dan mesra alam.
“Projek pembangunan tebingan sungai seperti di Sibu, Kapit, Simanggang, Marudi dan Limbang turut menjadi pemangkin kepada aktiviti pelancongan, pengurusan banjir dan peluang ekonomi tempatan.
“Contohnya Waterfront Simanggang yang bakal menjadi terpanjang di Sarawak akan dihubungkan dengan Jambatan Batang Lupar 2, sekali gus menggabungkan infrastruktur moden dengan nilai warisan sungai,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua inisiatif ini adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kelestarian alam sekitar sebagai asas pembangunan Sarawak menuju status negeri maju.
Oleh Masrin Affirah