PUTRAJAYA: Koperasi yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 akan diberi bantuan pemulihan secara strategik melalui kajian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar).
Menurutnya, SKM telah diminta untuk melihat koperasi yang memerlukan bantuan pemulihan di seluruh negara, antaranya berkaitan hala tuju koperasi berkenaan dan strategi yang dilaksanakan bagi menyokong pergerakan koperasi.
“Semalam saya terima lima hingga enam (mesej) WhatsApp dari Sarawak, Perlis yang kata bila nak sampaikan bantuan kepada koperasi mereka… seluruh negara akan kita bantu kalau ada keperluan mengikut kajian,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung permulaan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Bhd, di sini semalam.
Koperasi Sawah Sempadan Tanjung Karang Bhd, Koperasi Jabatan Penjara Malaysia dan Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd masing-masing menerima RM1 juta daripada SKM baru-baru ini sebagai bantuan pemulihan koperasi yang terjejas ekoran pandemik itu.
Menurut Wan Junaidi, sebanyak 14,625 koperasi telah berdaftar di bawah SKM sehingga 31 Disember 2019, dengan keahlian kira-kira 6.09 juta orang.
Mengenai Koperasi MEDAC Bhd, Wan Junaidi berkata penubuhannya adalah langkah tepat selaras dengan peranan kementerian sebagai entiti yang bertanggungjawab memayungi pembangunan dan hal ehwal sektor koperasi negara.
“Koperasi MEDAC perlu menunjukkan contoh sebagai koperasi berjaya kerana ahlinya adalah semua warga kementerian, termasuk menteri dan timbalan boleh menjadi ahli. Jadi orang (koperasi lain) akan melihat koperasi ini sebagai penanda aras,” katanya.
Antara aktiviti perniagaan Koperasi MEDAC Bhd yang dirancang adalah perniagaan barangan keperluan runcit harian, pengurusan kafe, perkhidmatan Ar-Rahnu dan stesen minyak.
- Bernama