
TANJUNG MANIS: Pelancaran buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang menyerlahkan kesinambungan usaha memartabatkan seni budaya masyarakat Rajang pada Karnival Songket Rajang 2025.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, berkata pelancaran buku tersebut bukan sahaja suatu pencapaian penting bagi dunia penerbitan, tetapi juga satu usaha besar dalam mendokumentasikan khazanah warisan Rajang untuk tatapan generasi pada masa akan datang.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada Persatuan Penggiat Sastera Sarikei (PERPESSA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah berjaya menganjurkan Karnival Songket Rajang sepanjang hari ini.
“Karnival ini bukan sahaja meriah, tetapi penuh dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti pertandingan deklamasi puisi, peragaan busana songket, gubahan songket, diskusi buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang, simulasi tenunan dan pameran songket serta pameran dan jualan buku oleh DBP.

“Tahniah juga kepada PERPESSA atas perjalanan panjang mereka yang bermula pada Julai 2001 dengan nama Kelab Penggiat Sastera Sarikei kini telah didaftarkan dengan nama baharu iaitu Persatuan Penggiat Sastera Sarikei pada Mac 2025,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang, di sini malam tadi.
Tambahnya, PERPESSA merupakan sebuah pertubuhan yang aktif dan komited dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan budaya tempatan.
“Buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ini, dengan harga RM72 bukan sekadar buku ilmiah, ia adalah dokumen penting yang memelihara identiti masyarakat Rajang melalui seni tenun songket.
“Sebagai tanda sokongan kepada usaha para penulis yang memartabatkan khazanah bangsa ini, saya secara peribadi akan berusaha membeli buku ini untuk diagihkan kepada perpustakaan desa dan institusi tempatan.
“Mudah-mudahan usaha kecil ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat, terutama generasi muda yang ingin mengenali warisan seni tempatan dengan lebih dekat,” katanya.
Buku Songket Tenunan Masyarakat Rajang merupakan hasil tulisan Radzemah Bolhassan dan Saanah Suhaili, terbitan DBP Kuala Lumpur pada 2025.
Turut hadir Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Haji Ismail, Pengerusi PERPESSA, Radzemah Bolhassan, Pegawai Daerah Tanjong Manis, Ismail Kasah serta Pemanca Morshidi Moris.
Oleh Earl Anek