
SARATOK: Keberkesanan usaha membanteras penyalahgunaan dadah di Sarawak, khususnya di daerah ini, bergantung kepada kekuatan jalinan, jaringan dan kerjasama berterusan antara agensi penguatkuasaan serta komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan komuniti adalah asas utama dalam memerangi penyalahgunaan dadah.
Melalui platform seperti Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS), katanya, usaha yang lebih tersusun, inklusif dan komprehensif dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Melalui OSC-MIDS, satu gerakan bersepadu dapat digerakkan sehingga ke peringkat akar umbi melalui pemberdayaan komuniti.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi memastikan masyarakat sendiri menjadi sebahagian daripada barisan hadapan dalam usaha membendung masalah dadah,” katanya.
Beliau menegaskan perkara itu ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Komuniti Sihat Makmur Bebas Dadah Daerah Saratok 2025 yang berlangsung di Rumah Milai, Emplaie Ili, semalam.
Program tersebut dianjurkan oleh Biro One Stop Committee (OSC) MIDS Daerah Saratok dengan kerjasama Pejabat Daerah Saratok, Pejabat Kesihatan Daerah Saratok dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Milai, Emplaie Ili.
Turut memeriahkan program ialah 17 agensi kerajaan yang membuka pameran masing-masing sebagai usaha memberi pendedahan serta maklumat berkaitan bahaya dadah kepada masyarakat.
Friday turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, sambil berharap kerjasama seperti ini akan diteruskan demi kesejahteraan masyarakat Saratok dan Sarawak secara keseluruhan.
Oleh Adi Safarman