
KUCHING: Sarawak dipilih sebagai lokasi penggambaran projek baharu siri drama polis popular, Gerak Khas 2.0, yang dijangka bermula pada Januari tahun depan.
Penerbit dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam berkata, penggambaran di negeri ini akan melibatkan pelakon-pelakon tempatan bagi memastikan drama lebih dekat dengan budaya dan masyarakat Sarawak.
Dalam sesi temu bual eksklusif, beliau berkata projek ini merupakan kerjasama dengan TV Sarawak dan akan melibatkan pelakon-pelakon tempatan bagi memastikan penggambaran lebih dekat dengan budaya serta masyarakat Sarawak.
“Kali ini, kita akan buat penggambaran di Kuching selain Kuala Lumpur, dan melibatkan bintang pelakon Gerak Khas serta pelakon-pelakon Sarawak supaya program ini lebih relevan dengan penonton di sini,” ujarnya.
Beliau menambah, penggambaran di Sarawak dijangka mengambil masa sekitar sebulan sebelum sambungan penggambaran di Kuala Lumpur, dengan keseluruhan projek dijangka siap dalam tempoh lima bulan.
Program ini turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan jalan cerita drama berkaitan kepolisan lebih tepat dan autentik.
Datuk Yusof Haslam, yang telah lebih 40 tahun berkecimpung dalam industri drama dan menghasilkan lebih 2,000 episod drama termasuk siri terkenal Sembilu, Kasih, Janji, dan Diana, turut menegaskan bahawa Gerak Khas 2.0 akan mengekalkan keseimbangan antara bintang lama dan bakat baharu.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada TV Sarawak atas peluang diberikan untuk mempersembahkan sebuah program yang sudah popular di Semenanjung, kini kepada penonton Sarawak. “Kepada rakyat Sarawak, jangan lupa saksikan Gerak Khas 2.0 mulai April 2026,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud