
KAPIT: Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) adalah aset penting yang perlu dipertahankan dan tidak wajar dijual untuk keuntungan jangka pendek, kata Menteri Kerja Raya Dato Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata tanah NCR adalah hak warisan keluarga yang seharusnya dibangunkan bagi menjana pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti.
“Saya ingin mengingatkan penerima, jangan jual tanah yang diberikan. Selepas melalui proses pengukuran dan mendapat hak milik yang sah, manfaatkanlah tanah ini untuk pembangunan jangka panjang,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (KTN) bagi Bahagian Kapit di sini hari ini.
Beliau turut menggesa pemilik tanah memanfaatkan bantuan kerajaan termasuk program di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak serta pelbagai inisiatif ekonomi yang disediakan bagi membantu peneroka NCR meningkatkan hasil.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit turut mengingatkan masyarakat agar tidak terpengaruh dengan pihak yang mempolitikkan isu NCR, sedangkan program berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan sejak lebih sedekad untuk memberikan kepastian undang-undang kepada pemilik tanah.
“Isu tanah NCR sering menjadi modal politik sesetengah pihak. Jangan biarkan diri kita dipengaruhi naratif yang memburukkan usaha kerajaan. Fakta menunjukkan program ini benar-benar berjalan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Sejak Program Pengukuran Tanah NCR diperkenalkan pada 2010, kerajaan melaksanakannya secara sistematik melalui dua peringkat iaitu pengukuran perimeter serta pewartaan di bawah Seksyen 6 KTN, diikuti pengukuran lot individu dan pengeluaran hak milik di bawah Seksyen 18 KTN.
Setakat 31 Oktober lepas, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah menyukat lebih 1.22 juta hektar perimeter tanah NCR di seluruh negeri, dengan 947,000 hektar daripadanya diwartakan. Selain itu, 106,467 lot individu telah diukur dan 34,507 lot dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN.
Majlis hari ini turut menyaksikan penyerahan 245 Surat Hak Milik Tanah kepada 156 penerima dari kawasan Sungai Ibau, Sungai Belawai dan Sungai Menuan, Batang Rajang.
“Semua proses ini dilaksanakan secara percuma, tanpa premium, tanpa cukai tanah dan hak milik diberikan secara kekal. Ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan,” katanya.
Nanta turut menggesa pemilik tanah terus memberi kerjasama dalam mengenal pasti sempadan serta menyelesaikan pertikaian secara harmoni bagi memastikan kerja-kerja pengukuran dapat dilaksanakan dengan lancar.
-Bernama