Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak tangani dadah secara holistik melalui Jawatankuasa Sehenti
  • TEMPATAN

Sarawak tangani dadah secara holistik melalui Jawatankuasa Sehenti

Utusan Sarawak 7 hours ago
 FATIMAH (duduk tengah) membuat simbol tangan ‘Tidak Kepada Dadah’ pada Majlis Penangguhan Program Komuniti Bebas Dadah 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di Sibu, hari ini.

SIBU: Isu dadah dan penyalahgunaan bahan terlarang di Sarawak kini ditangani secara holistik melalui pendekatan Jawatankuasa Sehenti (OSC) yang merangkumi keseluruhan spektrum pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan reintegrasi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata usaha ini dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sejak 2018, kerajaan telah meluluskan penubuhan OSC bagi menyelaras intervensi merentas agensi, sektor dan komuniti di peringkat negeri, daerah serta akar umbi.

“Model OSC berasaskan lima tonggak utama iaitu pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan reintegrasi,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Komuniti Bebas Dadah 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di sini, hari ini.

Fatimah berkata, bagi memperkukuh intervensi, Sarawak turut membangunkan tiga inisiatif bersepadu iaitu Pusat Pembangunan dan Intervensi Komuniti (CDIC),Sistem Pengurusan Kes Isu Sosial Bersepadu (ISICMS) serta bantuan LIFE bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Melalui pendekatan ini, kita bukan sahaja memutuskan rantaian bekalan dan mengurangkan permintaan, tetapi turut menyediakan sokongan rehabilitasi serta peluang reintegrasi kepada bekas penagih agar mereka dapat memulakan hidup baharu,” katanya.

JASON Tai (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Fatimah pada Majlis Penangguhan Program Komuniti Bebas Dadah 2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud di Sibu hari ini.

Menyentuh mengenai program tersebut, katanya, program ini dianjurkan melalui kerjasama Persatuan Ketua-Ketua Masyarakat Cina Sibu, Jawatankuasa Sehenti Daerah Sibu yang dipengerusikan oleh Residen Sibu, serta dengan sokongan Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Menurut beliau, kerjasama ini amat berkesan dalam usaha menangani isu dadah dan substans, bukan sahaja di Sarawak, malah di seluruh dunia.

“Pendekatan seperti ini sangat efektif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat untuk berkata tidak kepada dadah, tidak kepada vape, dan tidak kepada perjudian

“Penyalahgunaan dan pengedaran dadah bukan sahaja menyalahi undang-undang serta merupakan jenayah, tetapi juga isu kesihatan, khususnya kesihatan mental,” katanya.

Beliau turut yakin bahawa komitmen berterusan semua pihak termasuk pemimpin komuniti, golongan muda, agensi kerajaan, NGO dan masyarakat akan memastikan usaha memerangi dadah di Sarawak terus mencapai kejayaan.

“Bersama-sama, kita mampu memastikan generasi akan datang membesar dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera,” tambahnya.

Turut hadir, Naib Canselor UTS, Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid; Pengerusi Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu, Temenggong Vincent Lau Lee Ming; Pengelola Program, Pemanca Jason Tai serta tetamu kenamaan yang lain.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Kerajaan Sarawak ambil alih semua bekas jalan balak – Premier Sarawak
Next: Peruntukan RM3.8 bilion bagi Projek Jalan Raya MMMLL, buka akses pedalaman Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.