
KUALA LUMPUR: Pasaran getah dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan berikutan bermulanya musim Monsun Timur Laut, kata pakar industri Denis Low.
Beliau berkata produktiviti getah berkemungkinan terjejas, apabila peniaga dan pengguna biasanya menambah stok sebelum perubahan cuaca memandangkan Malaysia akan memasuki musim Monsun Timur Laut bermula minggu depan hingga Mac tahun depan.
“Bagaimanapun, setakat ini belum banyak aktiviti penambahan stok,” katanya yang mencadangkan bahawa mungkin terdapat sedikit peningkatan dalam permintaan pasaran dan harga.
Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) telah menyediakan tinjauan bercampur-campur tetapi sedikit optimistik bagi pasaran getah minggu depan.
MARGMA memetik jangkaan kekangan bekalan dan optimis mengenai permintaan jangka panjang, meskipun terdapat halangan ekonomi yang berterusan.
Menurut pertubuhan itu, harga getah berkemungkinan disokong oleh penurunan pengeluaran getah asli di Malaysia pada September, selain musim luar pengeluaran getah yang akan datang di wilayah pertumbuhan utama di China, iaitu Yunnan dan Hainan.
“Harga getah akan dipengaruhi oleh niaga hadapan getah serantau, prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dan turun naik dalam penanda aras minyak mentah.
“Selain itu, faktor makroekonomi dan geopolitik yang lebih meluas, termasuk perkembangan perdagangan antara AS-China, tinjauan kadar faedah AS, konflik Rusia-Ukraine, serta data ekonomi utama dari AS dan China akan terus mempengaruhi hala tuju pasaran,” katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 4.5 sen kepada 724.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 2.0 sen kepada 568 sen sekilogram. – Bernama