
KUCHING: Rakyat Sarawak digesa memberi perhatian serius terhadap peningkatan kes diabetes bagi memastikan mereka dapat menikmati kemajuan negeri dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata kadar diabetes di Sarawak kini menunjukkan peningkatan membimbangkan, dengan satu daripada enam rakyat negeri ini menghidap penyakit berkenaan.

“Pada lewat 1970-an hingga awal 2000-an, kadar diabetes di Sarawak hanya sekitar empat peratus. Hari ini, ia meningkat kepada 15 peratus, manakala dalam kalangan Bumiputera Sarawak mencecah 17.2 peratus.
“Lebih membimbangkan, ramai tidak sedar mereka menghidap diabetes. Sekiranya penyakit ini tidak dikawal, ia boleh menyebabkan strok, serangan jantung, kerosakan buah pinggang hingga memerlukan dialisis, malah risiko amputasi kaki,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2025 di Tebingan Kuching, di sini, semalam.
Menurut beliau, komplikasi penyakit ini sebenarnya boleh dicegah sekiranya diabetes dikesan awal dan rawatan dijalankan dengan baik.

Dr. Sim turut menekankan bahawa gaya hidup masyarakat Asia, termasuk pengambilan karbohidrat berlebihan dan minuman manis, meningkatkan risiko menghidap diabetes. Beliau berkata pemakanan harian memberi kesan besar kepada tahap kesihatan seseorang.
“Pencegahan adalah lebih penting daripada bergantung kepada fasiliti kesihatan semata-mata. Tanpa disiplin dalam penjagaan diri, jumlah hospital dan doktor tidak akan mampu menampung beban penyakit ini dalam masyarakat,” tegasnya.
Sempena sambutan itu, Jambatan Darul Hana diterangi cahaya biru di bawah kempen Turning Blue sebagai simbol solidariti global dalam meningkatkan kesedaran terhadap diabetes.
Oleh Adele Rissa