
SIBU: Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) Cawangan Sibu mengambil langkah proaktif menjalankan ceramah dan program pendidikan berkenaan kesedaran buli melibatkan sekolah dan komuniti sebagai usaha memerangi gejala buli yang semakin membimbangkan.
Pengerusi AAS Sibu, Timothy Lim Teng berkata, mereka telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kesedaran di beberapa institusi pendidikan termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), SMK Tung Hua, Institut Methodist Pilley (MPI) dan SMK Methodist.
“Berikutan keluasan bidang kuasa yang diliputi oleh AAS Sibu, sesi sama akan datang juga dijadualkan dibuat di SMK St. Anthony Sarikei, SJK Methodist Sibu, SMK Lanang dan SMK Bukit Assek.
“Kita berusaha untuk meliputi sebanyak mungkin sekolah dan berkongsi bahan pendidikan dengan cawangan AAS lain untuk memupuk pendekatan yang diselaraskan untuk menyebarkan mengenai kesedaran buli,” jelasnya ketika mempengerusi mesyuarat AAS Sibu di Kompleks Mahkamah Sibu, hari ini.
Katanya, AAS Sibu percaya bahawa menangani kes buli memerlukan lebih daripada langkah reaktif, dengan terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan strategi pencegahan awal seperti kempen pendidikan dan kesedaran untuk memerangi masalah yang semakin meningkat ini secara berkesan.
“Selain inisiatif berfokuskan pelajar, guru juga telah menjadi semakin sedar dan mengambil berat tentang hak mereka dalam mendisiplinkan pelajar, terutama berikutan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa dua guru di Pulau Pinang di bawah Seksyen 324 Kanun Prosedur Jenayah.
“Sebagai tindak balas, AAS Sibu akan melibatkan diri secara aktif dengan kesatuan guru untuk membincangkan aspek utama loco parentis dan
menjelaskan tanggungjawab serta perlindungan yang diperintahkan kepada warga pendidik.
“AAS Sibu mengiktiraf dan menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh Boston Ho Teck Howe, Kenny Lau Thai Yik, Eliah Lau Sie Yu, Connie Hii dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AAS Sibu atas penyertaan dan dedikasi mereka kepada ceramah penting ini,” katanya.
Mengulas tentang inisiatif Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Sarawak (YBGK), Lim memberitahu, AAS Sibu akan terus mempromosikan YBGK bersama-sama dengan Program Bantuan Guaman (Legal Aid) bagi memastikan YBGK tersedia untuk orang ramai.
Menurutnya, YBGK Sarawak yang diketuai oleh Christine Lim bagi sesi 2024 hingga 2026, telah ditugaskan untuk membantu 20 kes rayuan di Mahkamah Rayuan dan lapan kes di Mahkamah Tinggi.
“Manakala bagi Program Bantuan Guaman, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah memberikan kebenaran bagi menggunakan ruang pejabat di UTC Sibu untuk pajakan selama 10 tahun berkuatkuasa 14 Oktober 2025 dengan kadar sewa tahunan yang minimum.
“Ini membolehkan AAS Sibu mengendalikan Pusat Perkhidmatan Bantuan Guaman di UTC Sibu, sekaligus menyediakan lokasi yang stabil dan mudah diakses untuk orang ramai mendapatkan khidmat bantuan guaman,” kata beliau.
Lim menambah, AAS Sibu juga telah memulakan transformasi digital Perkhidmatan Bantuan Guamannya.
“Orang ramai akan mempunyai pilihan untuk mendaftar bantuan guaman sama ada secara dalam talian atau secara peribadi di Pusat Khidmat Bantuan Guaman,” ujarnya lagi.
Program Bantuan Guaman di Sibu telah bermula seawal 2000 ketika AAS Sibu dipengerusikan oleh Yang Arif Stephen Chung, dimana usaha tersebut telah disokong oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu yang menyediakan premis untuk penubuhan Pusat Khidmat Bantuan Guaman.
Ini diikuti oleh mendiang Wee Wui Kiat yang memajukan lagi usaha itu dengan menyediakan khidmat bantuan guaman ini setiap hari Sabtu di perkarangan Kompleks Mahkamah Sibu.
Selain Lim, ahli jawatankuasa AAS Sibu yang lain terdiri daripada Esther Wong Zhi Hua selaku Naib Pengerusi, Christine Lim Shiew Hsia (Setiausaha) dan Alexander Ling Chung Chian (Bendahari).
Ahli jawatankuasa yang lain terdiri daripada Lau Hui Tieng, Eliah Lau Sie Yu, William Ting Siew Chon, Kenny Lau Thai Yik, Terence Tiong Ing Jie dan Yap Kai Ling.
Oleh Akun Giman