KUCHING: Hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) yang ingin mengangkat Santubong disokong penuh oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
“Kawasan Santubong dan sekitarnya memang patut diangkat sebagai khazanah kearifan tempatan kerana mempunyai banyak nilai khazanah yang kemungkinan belum diterokai sepenuhnya,” katanya dan mengakui lagi selain kaya dengan keindahan alam semulajadi, kawasan Santubong turut mempunyai banyak nilai khazanah.
Malah, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU itu mendedahkan, kerajaan Sarawak turut membangunkan Taman Arkeologi Santubong yang merangkumi Pusat Arkeologi Sungai Jaong, Pusat Arkelogi Bongkissam dan Bukit Maras serta Pusat Wallace.
Pembangunan itu, katanya, membuktikan kawasan Santubong sesuai untuk diangkat sebagai khazanah kearifan tempatan agar Santubong yang pernah menjadi bandar pelabuhan pertama Sarawak suatu masa dahulu bakal dikenali bukan setakat di Malaysia namun seantero dunia.
Berdasarkan fakta sejarah, kata Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) kawasan Santubong juga menjadi antara lokasi perdagangan pertama di Sarawak melibatkan pedagang dari China dan India.
“Selain logistiknya memiliki pantai, kawasan Santubong juga terkenal dengan budaya seni bermukun dengan pelbagai koleksi pantun yang menceritakan mengenai corak kehidupan masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita semalam.
Justeru itu, sebagai wakil rakyat bagi kawasan Santubong dan sekitarnya, Dr Abdul Rahman memberi jaminan akan membantu DBPCS untuk menggerakkan hasrat mendokumentasikan khazanah kearifan tempatan sehingga berjaya.
Terdahulu, Pengarah DBPCS, Abang Haliman Abang Julai berkata kawasan Santubong perlu dikaji secara rinci untuk tujuan nilai intelektual agar keistimewaan kawasan itu dapat disebarkan kepada orang ramai.
“Saya mengharapkan karya kearifan tempatan dapat diangkat sama ada dari segi pendidikan ataupun penerbitan ke peringkat nasional lebih aktif lagi,” katanya baru-baru ini ketika ditemui pemberita selepas Sesi Dialog Karyawan Sarawak dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.
Oleh Diyana Samsuddin