
KUCHING: “Bayangkan, ketika kawasan lain baru mengenal api, di Santubong sudah ada kapal dagang dari China, Siam dan Vietnam berlabuh untuk berdagang.”
Demikian ungkapan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, ketika menegaskan betapa pentingnya Santubong sebagai tapak tamadun awal Sarawak yang membuktikan kewujudan hubungan antarabangsa sejak abad ke-7 Masihi.
Menurut beliau, penemuan arkeologi di kawasan seperti Sungai Jaong, Bongkissam dan Bukit Maras menjadi bukti bahawa masyarakat di Santubong ketika itu sudah memiliki kemahiran tinggi dalam pembuatan besi, tembikar serta perdagangan maritim dengan dunia luar.
“Nenek moyang kita di sini telah pandai membuat besi, tembikar dan berniaga dengan dunia luar. Gunung Santubong bukan sekadar mercu tanda geografi, tetapi simbol kebijaksanaan dan kemajuan masyarakat silam,” katanya.
Nancy berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Warisan Santubong: Eksplorasi Ilmu dan Jejak Tamadun di CENTEXS Santubong, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, seminar itu berperanan sebagai platform ilmu untuk menghidupkan semula nilai dan kisah di sebalik warisan Santubong agar ia dapat dijadikan sumber pengetahuan serta kebanggaan bersama.
Katanya, Santubong mempunyai potensi besar untuk diangkat sebagai destinasi warisan bertaraf nasional dan antarabangsa, termasuk berpotensi dicalonka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada masa depan.
“Potensi pengiktirafan UNESCO sangat tinggi kerana nilai sejarah dan arkeologinya yang unik.
“Namun untuk mencapainya, kita perlu bergerak bersama, kerajaan, akademik, NGO, komuniti dan sektor swasta,” jelasnya.
Nancy turut menggariskan empat strategi utama bagi memperkukuh pemeliharaan warisan Santubong, iaitu melalui pendidikan komuniti tempatan, penglibatan generasi muda, kerjasama pelbagai pihak, dan pembangunan pelancongan lestari.
Beliau menambah, usaha melestarikan warisan tidak hanya melibatkan pemuliharaan fizikal tapak, tetapi juga pemindahan ilmu kepada masyarakat agar generasi muda memahami nilai sebenar sejarah mereka.
“Apabila warisan dijaga dengan baik, manfaatnya luas, bukan sekadar nilai sejarah, tetapi peluang ekonomi dan kebanggaan identiti kepada penduduk setempat,” katanya.
Seminar anjuran bersama Arkib Negara Malaysia, Jabatan Muzium Sarawak dan Yayasan Budaya Melayu Sarawak itu menghimpunkan lebih 200 peserta termasuk ahli akademik, NGO, agensi kerajaan serta komuniti tempatan.
Oleh Shahrul Qaizat