
KUCHING: Kerajaan Sarawak memandang serius kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu tonggak utama pembangunan modal insan di Sarawak.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kerajaan Sarawak berhasrat melahirkan tenaga kerja yang kompeten, berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang teknologi hijau, automasi serta ekonomi digital.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis pada majlis Graduasi Sijil Vokasional Malaysia Kohort 2023 Peringkat Kolej Vokasional Kuching di sini, hari ini.

“Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) akan terus bekerjasama dengan agensi Persekutuan, pemain industri dan institusi pendidikan tempatan bagi memperkukuh ekosistem latihan teknikal serta vokasional di negeri ini,” katanya.
Antara langkah yang diambil termasuk memperluas akses kepada latihan TVET berkualiti melalui kerjasama dengan Sarawak Skills, CENTEXS, politeknik dan kolej komuniti.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan Sarawak turut menubuhkan Yayasan Sarawak Sekolah Menengah Antarabangsa (YSISS) bagi memberikan peluang kepada pelajar, khususnya daripada keluarga B40 dan M40, untuk menikmati pendidikan bertaraf antarabangsa.

Usaha itu, jelasnya, menunjukkan komitmen jangka panjang dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan Sarawak sedang membangunkan laluan baharu bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat supaya lebih ramai rakyat Sarawak bukan sahaja berpendidikan tinggi, tetapi juga memiliki nilai etika, berfikiran terbuka dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat serta tempat kerja.
Dalam pada itu, beliau memuji inisiatif Kolej Vokasional Kuching yang menjalin kerjasama dengan beberapa industri tempatan melalui Nota Persefahaman (NoU) bagi memastikan latihan yang dijalankan selaras dengan kehendak dan keperluan industri semasa.

Katanya, hubungan erat antara institusi pendidikan dan industri amat penting bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan sebenar serta bersedia melangkah ke dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.
Beliau menambah bahawa dalam era Revolusi Industri 5.0, manusia dan teknologi akan saling bekerjasama untuk meningkatkan produktiviti dan kelestarian, sekali gus menuntut graduan agar bijak mengaplikasikan ilmu secara kreatif dan bertanggungjawab.
Seramai 171 graduan Kolej Vokasional Kuching, Kohort 2023, menerima Sijil Vokasional Malaysia, menandakan pencapaian cemerlang mereka dalam bidang masing-masing.
Norman B