Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Apa persiapan Sarawak jadi negeri tua 2028
  • KOLUMNIS

Apa persiapan Sarawak jadi negeri tua 2028

Utusan Sarawak 15 hours ago

PADA 2028, Sarawak bakal menjadi negeri tua, dengan 15 peratus daripada jumlah penduduk terdiri daripada warga emas, lebih cepat berbanding peringkat nasional apabila Malaysia muncul negara tua menjelang 2030.

Negara atau sesebuah negeri yang peratusan penduduk warga tuanya mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya, dianggap telah mencapai status negara atau negeri tua.

Mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), individu berusia 60 tahun dan ke atas dikategorikan sebagai warga tua. Keputusan yang dibuat di Vienna, Austria pada 1982 itu turut diterima pakai oleh semua negara Asean, termasuk Malaysia.

“Sarawak akan menjadi antara negeri yang paling cepat menua berbanding negeri-negeri lain. Pada 2028, dari segi populasi warga emas mencatat kepada 15 peratus, dan pada masa kini ialah kira-kira 10 peratus,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Jadi apa persiapan Sarawak untuk jadi negeri tua? Kerajaan mungkin ada perancangan tersendiri tetapi pihak swasta juga perlu proaktif.

LALUAN khas untuk warga emas di pasar raya perlu berikutan barisan panjang di kaunter pembayaran.

Contohnya, buka laluan khas di pasar raya untuk warga emas, kerana kadangkala deretan barisan panjang menunggu giliran untuk membayar di kaunter. Letih bagi orang tua menunggu lama.

Kerajaan perlu merangka dasar untuk mewajibkan setiap pasar raya besar mempunyai laluan khas warga emas di kaunter pembayaran.

‘Food court’ pula perlu menyediakan lorong untuk laluan kerusi roda. Buka kaunter warga emas dalam bank kerana sesetengah urusan tidak boleh dibuat melalui ‘online banking’.

Pihak berkuasa juga perlu melihat kepada skop yang lebih meluas termasuk merangka program perumahan, kompleks beli-belah dan riadah yang mesra warga emas seperti menyediakan laluan yang boleh dilalui kerusi roda.

Setiap bank, jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya dan majlis tempatan perlu membuka kaunter khas untuk warga emas, berurusan.

PBT PERLU WUJUD ELEMEN MESRA USIA

Setiap Dewan Bandaraya dan majlis perbandaran juga perlu mewujudkan elemen mesra usia terutama bagi memudahkan pergerakan warga emas.

SARAWAK akan menjadi antara negeri yang paling cepat menua berbanding negeri-negeri lain – Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Sudah tentu undang-undang berkaitan perlu dinamik dan sekiranya ada penggubalan baharu atau penambahbaikan dibuat kepada undang-undang sedia ada, maka penguatkuasaannya diharap dapat dilaksanakan dengan jaya dan berkesan.

Hanya tiga tahun lagi dan kita sedang bergerak ke arah negeri tua. Perancangan perlu dibuat sekarang.

Namun menurut Fatimah, kerajaan Sarawak menetapkan isu penuaan sebagai perkara yang akan diberi perhatian dalam 13 isu utama sosial di negeri ini sebagai persediaan awal memandangkan Sarawak dijangka akan menjadi negeri tua menjelang 2028.

Antaranya kesan utama daripada demensia yang dikenal pasti setakat ini mempengaruhi warga tua ialah penyakit lupa selain kekeliruan dan kemurungan, diikuti kurang pengetahuan tentang penyakit demensia sehingga terlambat untuk mendapatkan rawatan.

Peningkatan jumlah warga emas ada kaitan dengan peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia iaitu secara purata telah meningkat kepada 76 tahun dalam tempoh lima dekad kebelakangan ini, sekali gus meningkatkan jumlah warga emas.

SETIAP jabatan kerajaan perlu membuka laluan khas untuk warga emas.

Seseorang sebenarnya hanya memiliki selama 665,760 jam untuk menjalani kehidupan di dunia ini. Jika sudah mencapai usia 40 tahun, ia bermakna lebih separuh perjalanan hidup ditempohi.

Menurut Fatimah, sebanyak 30 dari 156 daerah di Malaysia pula telah melepasi jangka hayat paras nasional, dengan jangkaan hayat tertinggi bagi lelaki direkodkan di Kinabatangan, Sabah (79.8 tahun), manakala bagi perempuan di Telupid, Sabah (82.8 tahun).

Kota Samarahan, misalnya, jangkaan hayat ketika lahir terus meningkat di mana 79.8 tahun direkodkan pada 2023, 80.4 tahun pada 2024, dan 80.9 tahun pada 2025, tertinggi dalam negara.

Jangkaan hayat paling rendah pula direkodkan di Kanowit, pada 66.5 tahun menjelang 2025.

DASAR PENUAAN INKLUSIF

Sebagai persiapan untuk ‘menyambut’ negeri tua, kerajaan Sarawak berhasrat menjadikan wilayah ini sebagai model wilayah mesra warga emas, iaitu sebuah tempat di mana golongan berusia terus dihargai, disokong serta diberi peluang yang sama rata seperti kumpulan umur lain.

Perkara ini dinyatakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg minggu lalu ketika majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Penuaan Sarawak (SICA) 2025 di Kuching.

SARAWAK perkenalkan inisiatif Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) dengan menyediakan rawatan perubatan tanpa tunai sehingga RM500 setahun bagi seorang warga emas di lebih 290 klinik panel di seluruh negeri.

Dalam teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Abang Johari berkata bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan negeri kini giat melaksanakan pembangunan dasar penuaan yang inklusif dan menyeluruh bagi memperkasa warga emas di seluruh negeri tanpa mengira latar belakang atau lokasi.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan digalakkan untuk mereka bentuk kemudahan, ruang awam dan infrastruktur yang mesra warga emas bagi memastikan aksesibiliti, keselamatan dan keselesaan untuk semua.

“Ini termasuk membina ekosistem sokongan menyeluruh yang boleh memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan, memperluas perkhidmatan sosial serta mempertingkat bantuan kewangan dan penjagaan warga emas,” katanya.

Sebenarnya, kerajaan Sarawak sudah memperkenalkan beberapa inisiatif dalam usaha membantu warga emas.

Ini termasuk inisiatif Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) yang diperkenalkan mulai 23 Mei 2024 bagi menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar.

JANGKA hayat rakyat Malaysia secara purata telah meningkat kepada 76 tahun dalam tempoh lima dekad kebelakangan ini, sekali gus meningkatkan jumlah warga emas.

Menurut Fatimah lagi, skim bernilai RM50 juta ini menyediakan rawatan perubatan tanpa tunai sehingga RM500 setahun bagi seorang warga emas di lebih 290 klinik panel di seluruh negeri.

Sasaran JKM Sarawak ialah bagi mencapai 200,000 warga emas mendaftar dengan SCHB menjelang akhir tahun ini.

Sehingga Ogos 2025, seramai 185,957 warga emas di negeri ini telah mendaftar SCHB dan diharapkan lebih ramai lagi tampil.

INISIATIF UNTUK WARGA EMAS

Malah kerajaan Sarawak turut menyediakan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada warga emas.

Sehingga 30 September lalu, seramai 342,419 warga emas merupakan pemegang KGC. Setiap pemegang KGC akan menerima banyak manfaat menerusi penawaran perkhidmatan di lebih 1,140 rakan kongsi strategik.

Selain itu, KGC ini juga dilengkapi dengan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) bagi menanggung kos pengebumian berjumlah RM1,800 bagi setiap pemegang KGC.

Sehingga 30 September 2025, seramai 26,790 waris pemegang KGC telah mendapat manfaatnya. Pemegang KGC juga ditawarkan diskaun istimewa, manfaat dan akses kepada perkhidmatan yang membantu kewangan mereka.

Fatimah berkata bagi membantu kos sara hidup, warga emas juga menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), iaitu bantuan kewangan tahunan antara RM250 hingga RM800.

“Kerajaan negeri mengakui realiti dan sedang mengambil tindakan proaktif melalui kerjasama dengan agensi strategik, pihak berkuasa tempatan serta rakan komuniti bagi memperkukuh sistem sokongan dan mewujudkan peluang yang membolehkan warga emas di negeri ini hidup secara aktif, selamat dan bermaruah,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Penuaan Sarawak (SICA) 2025 di Kuching baru-baru ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, kerajaan Sarawak kini sedang menjalankan kajian bersama St. Burns dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bagi membentuk pelan tindakan yang menilai profil penuaan masyarakat Sarawak.

Katanya, berdasarkan rekod JKM Sarawak, seramai 57,011 individu merupakan penerima bantuan kebajikan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, seramai 22,440 penerima bantuan merupakan warga emas, menjadikan mereka kumpulan terbesar yang mendapat manfaat daripada peruntukan RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas di seluruh negara di dalam Belanjawan 2026.

“Peruntukan yang diterima warga emas ini termasuklah elaun poket, bantuan sosioekonomi dan operasi pusat aktiviti warga emas,” katanya pada majlis ‘Demi Rakyat: Taklimat Faedah Kesihatan Warga Emas Zon Tengah Bersama Pusat Khidmat DUN dan Parlimen Zon Tengah anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Malah kerajaan Sarawak turut menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Pusat Perkhidmatan Warga Emas (PPWE).

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Politik Sabah: Lompat parti atau rasional politik?

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.