KUALA LUMPUR: Pembukaan semula perniagaan berikutan usaha Malaysia mengawal penularan Covid-19 dan seterusnya memacu kembali ekonomi, terbukti membantu aspek kadar pengangguran yang lebih baik selepas susut secara ketara pada suku kedua tahun ini.
Pemulihan itu jelas dipaparkan menerusi data eksport lebih baik sebagaimana prestasi Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) yang diumumkan pada minggu lepas.
Namun, apakah kita benar-benar menuju ke arah pemulihan berbentuk V?
Penganalisis Ambank, Anthony Dass berkata, data pembuatan IPP pada Ogos lepas menunjukkan aktiviti sektor itu susut sedikit kepada 49.3 berbanding 50.0 pada Julai – penurunan daripada paras nilai ambang antara pengembangan dan penguncupan.
Ini disebabkan oleh kelemahan permintaan asing dan kekal menjadi punca penyederhanaan aktiviti perniagaan pada Ogos dengan usaha syarikat bagi mengurangkan paras pekerja.
“Secara keseluruhannya, sektor pembuatan menuju ke arah stabil dengan petunjuk utama seperti output dan tempahan baharu yang mendapat lebih ketara berbanding ketika kemuncak pandemik Covid -19 pada April dan Mei.
“Bagaimanapun, kesan daripada langkah ketat yang sedang dijalankan, penyusutan permintaan pasaran asing dan kebimbangan mengenai gelombang kedua (jangkitan Covid-19) terus mengehadkan prestasi sektor tersebut.
“Sehubungan itu, penilaian mengenai kemungkinan aliran pengeluaran itu masih perlu dilihat secara berhati-hati,” katanya.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd pula berpendapat PMI Malaysia yang dicatatkan itu memaparkan aliran menggalakkan pada Ogos di tengah-tengah persekitaran operasi pembuatan yang stabil pasca pembukaan semula ekonomi di Malaysia serta rantau ini.
Bagaimanapun, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga akhir tahun ini dijangka tidak menjejaskan sektor pembuatan berikutan kerajaan telah membenarkan operasi dan aktiviti dengan melaksanakan prosedur operasi standard yang ketat.
“Keadaan ini kurang memberi risiko kepada sektor pembuatan berbanding dengan cabaran ketara yang dihadapi kalangan negara maju,” katanya dalam nota penyelidikan.
Melihat dari sudut perspektif global pula, ekonomi secara amnya semakin beransur-ansur meningkat dengan harapan pemulihan yang lebih ketara.
Menurut laporan, aktiviti ekonomi China terus melantun pada Ogos dengan industri perkhidmatan di tahap tertinggi sejak awal 2018 manakala industri pembuatan mencatat perkembangan yang sedikit perlahan.
Sektor bukan pembuatan republik itu meningkat kepada 55.2 berbanding 54.2 pada Julai lepas, demikian menurut Biro Statistik Negara (NBS) China pada Isnin lepas.
PMI rasmi China menyederhana kepada 51 daripada 51.1 bagi bulan sebelumnya, kata jabatan itu.
Bacaan melebihi 50 menunjukkan keadaan bertambah baik berbanding bulan sebelumnya. – Bernama