
SIBU: Seorang penjaga kedai wanita berusia lingkungan 20-an kerugian sebanyak RM73,900 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan polis.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, berdasarkan laporan semalam, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek pada 6 November lalu
“Suspek memperkenalkan diri sebagai wakil syarikat penghantaran DHL dan mendakwa mangsa telah membuat penghantaran mengandungi satu buku cek dan satu token bank yang didaftarkan atas namanya.
“Suspek kemudian menyambungkan panggilan mangsa kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram serta menjual maklumat peribadi kepada pihak lain,” katanya menerusi siaran media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa diarahkan untuk membuat beberapa transaksi ke akaun tertentu kononnya bagi tujuan siasatan lanjut.
“Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak empat kali transaksi secara
kesuluruhan sejumlah RM73,900 ke dalam empat akaun tempatan yang berlainan.
“Setelah selesai membuat pembayaran tersebut, mangsa berasa curiga dan sedari telah
terpedaya oleh suspek dan membuat laporan bagi siasatan lanjut. Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Katanya, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan tidak mudah panik atau
merasa cemas apabila menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada pusat respons scam
kebangsaan (nsrc) di talian 997 dan ikuti laman facebook @cybercrimealertrmp
@jsjkpdrm.
Buat juga semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ .