Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak terajui inisiatif kebajikan warga emas melalui kajian dan pelan tindakan menyeluruh
  • TEMPATAN

Sarawak terajui inisiatif kebajikan warga emas melalui kajian dan pelan tindakan menyeluruh

Utusan Sarawak 9 hours ago
UNTUK KENANGAN…Abdullah Saidol merakam kenangan pada pada Demi Rakyat: Taklimat Inisiatif Manfaat Kesihatan Warga Emas Zon Tengah Bersama Pusat Khidmat DUN Dan Parlimen Zon Tengah anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini. Turut kelihatan ialah Faizal (duduk, kiri sekali), Anyi, Abdul Yakub serta yang lain.

SIBU: Kerajaan Sarawak kini sedang menjalankan kajian bersama St. Burns dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) bagi membentuk pelan tindakan yang menilai profil penuaan masyarakat Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan (JKM) Sarawak, seramai 57,011 individu merupakan penerima bantuan kebajikan di Sarawak.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 22,440 penerima bantuan merupakan warga emas menjadikan mereka kumpulan terbesar yang mendapat manfaat daripada peruntukan RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas di seluruh negara di dalam Belanjawan 2026.

“Peruntukan yang diterima warga emas ini termasuklah elaun poket, bantuan sosioekonomi dan operasi pusat aktiviti warga emas.

“Justeru, Inisiatif Manfaat Kesihatan Warga Emas (SCHB) yang diperkenalkan kerajaan Sarawak melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 23 Mei 2024 bagi menyediakan kemudahan rawatan pesakit luar secara tanpa tunai dengan had maksimum RM500 setahun untuk seorang warga emas.

“Sehingga 11 November 2025, sebanyak 262 hospital dan klinik panel telah dilantik oleh JKM Sarawak dan beroperasi di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Demi Rakyat: Taklimat Inisiatif Manfaat Kesihatan Warga Emas Zon Tengah Bersama Pusat Khidmat DUN Dan Parlimen Zon Tengah anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di salah sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.

Abdullah Saidol berkata, kerajaan Sarawak turut menyediakan Kad Kenyalang Gold (KGC) kepada warga emas Sarawak yang merupakan satu lagi inisiatif di bawah Premier Sarawak.

“Sehingga 30 September 2025, seramai 342,419 warga emas merupakan pemegang KGC. Setiap pemegang KGC akan menerima banyak manfaat menerusi penawaran perkhidmatan di lebih 1,140 rakan kongsi strategik.

“Selain itu, KGC ini juga dilengkapi dengan Bantuan Ihsan Kematian (BIK) bagi menanggung kos pengebumian berjumlah RM1,800 bagi setiap pemegang KGC. Sehingga 30 September 2025, seramai 26,790 waris pemegang KGC telah mendapat manfaatnya,”ujarnya.

Katanya, inisiatif kerajaan Sarawak ini diperkenalkan untuk memastikan rakyat Sarawak dapat menjalani kehidupan yang baik dan sejahtera.

“Dengan bantuan daripada anda semua dari Pusat Khidmat DUN dan Parlimen, saya percaya dan yakin sasaran JKM Sarawak bagi mencapai 200,000 warga emas yang mendaftar dengan SCHB ini akan dapat dicapai sehingga penghujung tahun ini.

“Sehingga Ogos 2025, seramai 185,957 warga emas Sarawak telah mendaftar SCHB ini. Kita mahu memastikan setiap warga emas Sarawak di kawasan yang masih belum mendaftar agar segera berbuat demikian,” katanya.

Mengulas tentang program tersebut, Abdullah Saidol memberitahu, sebagai ‘Saluran Informasi Rakyat’, program seperti ini bertujuan berkongsi bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen manfaat kesihatan melalui program SCHB ini.

“Ini sekali gus memberi kesedaran kepada rakyat Sarawak di peringkat akar umbi khususnya warga emas mengenai faedah bantuan SCHB ini dan peluang yang sedia ada ini harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” kata beliau.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali serta yang lain.

Oleh Akun Giman

Continue Reading

Previous: Delegasi Perak tinjau visi bandar pintar Majlis Bandaraya Kuching Selatan
Next: Kerjasama rakyat penting cegah jenayah dan ancaman keselamatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.