Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak pelopori pertanian lestari Borneo berasaskan ilmu sains, pengetahuan tradisional
  • SEMASA

Sarawak pelopori pertanian lestari Borneo berasaskan ilmu sains, pengetahuan tradisional

Utusan Sarawak 8 hours ago
DATUK Hazland Abang Hipni berucap pada sesi bertajuk Panel Sains untuk Borneo: Memelihara Kepelbagaian Biologi Borneo demi Masa Depan Lestari sempena Persidangan COP30 di Belem, Brazil.

BELEM, BRAZIL: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Hazland Abang Hipni, menegaskan bahawa transformasi pertanian mampan di Borneo perlu berasaskan gabungan antara ilmu sains moden, dasar yang inklusif serta pengetahuan tradisional masyarakat pribumi bagi menjamin masa depan yang lestari.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi bertajuk Panel Sains untuk Borneo: Memelihara Kepelbagaian Biologi Borneo demi Masa Depan Lestari sempena Persidangan COP30 di Belem, Brazil, anjuran Panel Sains untuk Borneo.

KENANGAN…Datuk Hazland Abang Hipni merakam gambar kenangan pada sesi bertajuk Panel Sains untuk Borneo: Memelihara Kepelbagaian Biologi Borneo demi Masa Depan Lestari sempena Persidangan COP30 di Belem, Brazil.

Menurut Dr. Hazland, Sarawak kini berada di landasan jelas ke arah kelestarian menerusi pelancaran Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 yang menjadi panduan menyeluruh pembangunan lestari termasuk sektor pertanian regeneratif.

“Pelan ini memperincikan strategi untuk mempercepatkan amalan pertanian regeneratif, menyokong petani kecil serta memastikan sistem makanan yang adil dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim,” jelas beliau.

Dr. Hazland menekankan bahawa perubahan sistem pertanian secara menyeluruh hanya boleh dicapai melalui gabungan tadbir urus yang tepat, dasar fiskal yang progresif dan insentif kepada petani kecil.

Antara langkah penting ialah insentif penerapan amalan pertanian regeneratif, termasuk bantuan kewangan dan subsidi bagi teknik seperti tanaman penutup bumi dan pengurangan pembajakan.

Selain itu, pelaburan besar dalam kewangan hijau dan inisiatif mampan juga diperlukan untuk mempercepatkan peralihan ini. Beliau turut menyeru kerjasama awam-swasta bagi menggerakkan modal pelaburan dalam infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan pasaran hasil pertanian lestari.

“Pasaran yang memberi ganjaran kepada produk lestari menerusi pensijilan dan perdagangan adil mampu menggalakkan petani mengamalkan sistem pertanian yang menjaga ekosistem dan memberi nilai ekonomi yang mampan,” katanya.

Dalam konteks negara membangun, Dr. Hazland menegaskan bahawa Pengurusan Hutan Secara Lestari harus kekal sebagai teras strategi iklim. Langkah ini bukan sahaja melindungi hutan dan tanah gambut bernilai tinggi tetapi turut menjamin kesejahteraan sosioekonomi masyarakat tempatan.

Beliau menjelaskan bahawa dasar penggunaan tanah dan Pelan Induk Kelestarian Sarawak telah menetapkan sasaran memperluas Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) dan Hutan Kekal (PF) menjelang 2030, termasuk pemulihan semula 200,000 hektar kawasan terdegradasi.

“Usaha ini melibatkan reformasi guna tanah, mekanisme kewangan mampan, serta insentif fiskal bagi pemulihan hutan dan tanah gambut,” ujarnya sambil menekankan keperluan penguatkuasaan undang-undang bagi mengelak penukaran guna tanah yang tidak terkawal.

Dr. Hazland turut menegaskan kepentingan pengiktirafan pengetahuan tradisional masyarakat pribumi dalam membentuk sistem pertanian masa depan Borneo yang berdaya tahan.

Beliau menjelaskan, pendekatan bersepadu antara pengetahuan tradisional dan sains moden dapat melahirkan sistem pertanian yang lebih tangkas dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan keselamatan makanan.

“Sarawak memberi penekanan kepada penyertaan aktif komuniti pribumi dalam proses membuat keputusan, termasuk dokumentasi dan pemuliharaan warisan amalan tradisional seperti agroforestri, pengurusan benih tempatan dan kawalan perosak semula jadi,” jelasnya.

KENANGAN…Datuk Hazland Abang Hipni merakam gambar kenangan pada sesi bertajuk Panel Sains untuk Borneo: Memelihara Kepelbagaian Biologi Borneo demi Masa Depan Lestari sempena Persidangan COP30 di Belem, Brazil.

Kerjasama antara Sarawak Biodiversity Centre (SBC) dan komuniti pribumi juga telah dilaksanakan bagi mendokumentasikan pengetahuan tradisional yang berpotensi dikomersialkan, di samping memelihara nilai ekonomi dan budaya mereka.

Menurut beliau, Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) menyediakan rangka strategik dengan 10 teras utama dan 111 pelan tindakan bagi memastikan sektor pertanian bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi tetapi juga memelihara alam sekitar serta kesejahteraan sosial.

Sarawak turut mensasarkan untuk menjadi pengeksport makanan bersih dan lestari menjelang 2030 melalui pertanian moden, kompetitif dan berpaksikan kelestarian.

“Kita mahu memastikan pembangunan pertanian memberi manfaat kepada generasi kini dan akan datang tanpa menjejaskan ekosistem,” katanya.

Menutup ucapannya, Dr. Hazland menegaskan bahawa pertanian lestari di Borneo tidak sekadar tentang produktiviti, tetapi tentang inklusi suara pribumi, pemuliharaan warisan budaya, serta kepimpinan tempatan yang diperkasa oleh sains dan dasar yang adil.

“Pendekatan bersepadu ini menjamin keselamatan makanan, ketahanan iklim dan keseimbangan ekologi untuk generasi akan datang seiring aspirasi global dan hala tuju Sarawak untuk masa depan manusia dan bumi yang sejahtera,” tegas beliau.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Premier Sarawak pimpin Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-36 RISEAP di Seoul
Next: Tun Wan Junaidi terima kunjungan hormat Naico Malaysia dan i-CATS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.