KOTA KINABALU: Semua pengundi yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah boleh mula membuat semakan pusat mengundi dan tempat mengundi (saluran) bermula semalam.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata semakan boleh dibuat melalui kaedah Portal SPR pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak Khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR SEMAK nombor kad pengenalan dan hantar ke nombor 15888; dan melalui Hotline SPR di talian 03-8892 7018.
“Di samping itu, SPR juga meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 1,103,646 orang pengundi biasa untuk memudahkan pengundi merancang untuk keluar mengundi pada PRN Sabah.
“Kad pengundi itu mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan. Maklumat itu akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari pengundian 26 September ini,” katanya.
Beliau berkata SPR juga meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan pada kad pengundi, dan pengundi diharapkan mengikut masa yang telah dicadangkan.
“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau berdasarkan waktu mengundi yang diwartakan.
“Namun demikian pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir. Cadangan masa ini bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi. Ini adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Ikmalrudin berkata SPR telah mula mengedarkan kad pengundi bermula semalam kepada semua pengundi bagi PRN Sabah dan pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih.
“Selain itu, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRN Sabah boleh membeli DPPR itu di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah dan sebarang urusan berkaitan pembelian DPPR ini boleh hubungi 03-8892 7018 atau 088-488 588,” tambahnya.- Bernama