
MELBOURNE: Sekumpulan jurutera Australia sedang membangunkan peranti bantuan jantung berteknologi baharu, yang berpotensi mengubah pendekatan rawatan pesakit gagal jantung dengan fraksi ejeksi terpelihara (HFpEF), dan kini mewakili hampir separuh daripada 64 juta kes kegagalan jantung di seluruh dunia, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan Universiti Monash hari ini, penyelidikan terbaharu menunjukkan bahawa reka bentuk semula peranti itu berpotensi memberi harapan baharu kepada pesakit HFpEF, yang ketika ini tidak mempunyai pilihan rawatan berkesan selain ubat-ubatan atau penjagaan paliatif.
“Kebanyakan pesakit ini mempunyai jantung yang kaku dengan dinding menebal dan ruang ventrikel yang lebih kecil.
“Ini menyebabkan peranti bantuan ventrikel standard tidak sesuai digunakan, malah boleh mendatangkan mudarat,” kata penulis utama kajian, calon PhD Universiti Monash, Nina Langer yang meneliti kaedah menyesuaikan pam jantung sedia ada untuk pesakit HFpEF.
Kajian itu mencadangkan reka bentuk pam jantung inovatif yang mampu menangani cabaran unik HFpEF dengan meningkatkan aliran darah dan mengurangkan tekanan ke atas jantung.
Peranti itu juga berpotensi menjadi jambatan kepada pemindahan jantung bagi mengekalkan kelangsungan hidup pesakit sementara menunggu penderma, atau sebagai penyelesaian jangka panjang bagi pesakit yang tiada pilihan lain, menurut laporan yang diterbitkan dalam jurnal Annals of Biomedical Engineering.
Penemuan ini menjadi asas kepada pembangunan peranti sokongan peredaran darah mekanikal pertama untuk pesakit HFpEF, yang kini dibangunkan di bawah Program Artificial Heart Frontiers (AHFP) yang diterajui Universiti Monash.- Bernama-Xinhua