
BELAWAI: Objek terapung yang pada awalnya disangka damar rupa-rupanya mencetus tanda tanya apabila disyaki sebagai muntah paus, penemuan pertama seumpamanya di perairan Kuala Belawai dan juga Sarawak.
Nelayan tempatan, Semawi Mantali, 58 tahun, berkata dia menemui objek berwarna pucat dan berminyak itu ketika sedang memasang pukat di pesisir pantai sekitar 7.00 pagi, semalam.
“Saya nampak objek tu terapung di laut. Mula-mula saya sangka damar, tapi bila tengok betul-betul.. rupanya bukan.
“Ia timbul, berminyak dan air langsung tak melekat. Dalam hati saya terus terlintas, mungkin ini muntah paus,” katanya kepada Utusan Sarawak,hari ini.
Semawi yang berasal dari Kampung Lot Baru Belawai berkata dia menyimpan objek itu dalam plastik sebelum membawanya pulang ke rumah dan menunjukkan kepada penduduk kampung.
“Bila saya minta orang tua di kampung tengok objek ini, dia terus kata itu muntah paus.
“Saya pun terkejut dan tanya semula, benarkah? Dia jawab benar,” katanya.
Katanya, bau objek tersebut ketika baru ditemui berbau “lantoh” (busuk).
“Tiga orang kawan saya yang berada di rumah saya cuba cari dalam aplikasi TikTok cara nak uji ketulenan muntah paus.
“Apabila dah mendapat caranya, mereka minta saya bakar sikit dalam sudu.
“Hasilnya memang serupa sekali dengan muntah ikan paus,” katanya.
Samawi melahirkan perasaan gembira bila penemuan ini tular di media sosial.
“Objek ini bukan benda jahat, ia objek bagus. Jadi orang tahu nelayan dari mana yang jumpa…dan setakat yang saya tahu, ini kali pertama ada penemuan macam ni di kawasan kita,” katanya.
Ambergris atau muntah paus ialah bahan pepejal bertekstur lilin yang terbentuk dalam sistem penghadaman paus sperma (Physeter macrocephalus).
Pada awalnya berbau busuk, bahan ini akan berubah menjadi wangi dan bernilai tinggi selepas lama terdedah kepada udara dan cahaya matahari.
Ia digunakan dalam industri minyak wangi mewah kerana keupayaannya mengekalkan aroma, dan harga pasaran globalnya boleh mencecah ribuan ringgit bagi setiap kilogram bergantung kepada kualiti dan usia bahan tersebut.
Oleh Earl Anek