
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menggesa kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh pelancongan perubatan serta kesejahteraan di negeri ini, sejajar dengan usaha menjadikan Sarawak sebagai hab kesihatan dan rehabilitasi terkemuka di rantau Borneo.
Menurut Dr Sim, penganjuran Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTC) 2025 bertepatan dengan agenda kerajaan Sarawak untuk mempelbagaikan ekonomi melalui sektor berasaskan pengetahuan dan kelestarian, termasuk penjagaan kesihatan, rehabilitasi serta pelancongan kesejahteraan.

“Sarawak memiliki kelebihan tersendiri dengan kestabilan politik, kepelbagaian biodiversiti, dan prasarana yang sedang berkembang pesat. Semua ini memberi nilai tambah untuk menjadikan negeri ini pintu masuk utama pelancongan perubatan di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis pelancaran Persidangan Pelancongan Perubatan Antarabangsa (IMTC) 2025 di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sim turut menegaskan bahawa penglibatan pemain industri tempatan dalam bidang perubatan, teknologi digital, serta pelaburan kesihatan amat penting bagi memastikan peluang ekonomi diagihkan secara seimbang ke seluruh wilayah termasuk Bintulu dan Miri.

“Pembangunan sektor kesihatan tidak boleh hanya tertumpu di Kuching. Kita mahu memastikan setiap bahagian Sarawak mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan dan pemulihan yang berkualiti,” ujarnya.
Persidangan bertemakan “Meneroka Borneo sebagai Frontier Baharu Pelancongan Perubatan” (Unlocking Borneo as the Next Medical Tourism Frontier) itu menghimpunkan penggubal dasar, pengamal kesihatan dan pelabur serantau bagi membincangkan peluang kerjasama rentas sempadan dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan.
Persidangan dua hari yang berlangsung dari 11 hingga 12 November itu menampilkan ucaptama, sesi padanan perniagaan dan pameran, dengan penyertaan pakar dari Malaysia, Indonesia serta Timur Tengah.
Oleh Adele Rissa