
PETRA JAYA: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Yayasan Sabah hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan industri buluh mampan serta latihan komuniti di Sabah.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar STIDC, Haluyah Awi yang mewakili Pengurus Besar STIDC, manakala Yayasan Sabah diwakili oleh Setiausaha Korporatnya, Hanafiah Diman.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak komited memperkukuh amalan penanaman buluh secara lestari, pengurusan sumber, serta memperkasa komuniti tempatan menerusi program latihan berfokuskan pembangunan sosioekonomi, keusahawanan dan kelestarian alam sekitar.
Menurut Haluyah, MoU selama dua tahun itu menjadi platform penting bagi memupuk kerjasama lebih erat antara Sarawak dan Sabah dalam memajukan industri buluh negara.
“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi, tetapi juga kepada industri buluh tempatan dan komuniti yang terlibat.
“Ia membuka peluang baharu dalam pembangunan sumber lestari dan menyumbang kepada visi bersama ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya tahan,” katanya melalui sebuah kenyataan media, hari ini.

Di bawah terma MoU tersebut, STIDC akan membekalkan dan menjual anak pokok buluh berkualiti tinggi untuk ditanam di kawasan Konsesi Yayasan Sabah di Hutan Simpan Sungai Pinangah, FMU 15, Keningau.
STIDC turut menyediakan khidmat nasihat pakar, sokongan teknikal dan latihan kepada peserta Program Penanaman Bahan Mentah – Buluh dan Rotan.
Yayasan Sabah pula akan memperuntukkan sekurang-kurangnya 40 hektar tanah untuk penanaman buluh, menggalakkan penglibatan komuniti, berkongsi amalan terbaik, memantau kemajuan projek serta melaksanakan latihan pembangunan produk berasaskan buluh.
Yayasan Sabah turut menanggung sepenuhnya kos perkhidmatan dan bahan yang disediakan oleh STIDC.
Kerjasama ini dijangka mewujudkan peluang baharu dalam pembangunan sumber semula jadi secara lestari, di samping meningkatkan taraf hidup komuniti tempatan melalui aktiviti ekonomi berasaskan buluh.