

BELÉM, Brazil: Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, menggesa negara-negara di dunia mempercepat peralihan tenaga dan melindungi hutan sebagai langkah paling berkesan menangani pemanasan global ketika membuka Sidang Kemuncak Iklim Belém (COP30) baru-baru ini.
Presiden Lula menegaskan perlunya pelan tindakan bagi menghentikan dan membalikkan kadar penebangan hutan, mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, dan memobilisasi sumber secara adil.
“Mempercepat peralihan tenaga dan melindungi alam semula jadi adalah dua cara paling berkesan mengekang pemanasan global. Kita memerlukan peta jalan untuk mencapai matlamat ini secara saksama dan terancang,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.
Presiden Brazil menekankan kepentingan simbolik penganjuran sidang ini di Amazon, hutan hujan tropika terbesar dunia dan lambang utama perjuangan alam sekitar.
Beliau memberi amaran bahawa khazanah ini kini terancam akibat kesan perubahan iklim dan mengingatkan bahawa suhu bumi telah melebihi 1.5°C berbanding tahap pra-industri.
Beliau turut menekankan pentingnya menjembatani jurang antara bahasa teknikal rundingan dan pengalaman harian rakyat.
Timbalan Menteri Tenaga & Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abg Hipni, menghadiri COP30 bersama empat pegawai kementeriannya serta 20 pegawai dari Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar Malaysia.
Sidang kemuncak tersebut menyatukan 153 delegasi yang menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran perubahan iklim.