
KUCHING: Lawatan hormat Datuk Bandar Hou Suyun bersama Delegasi Ekonomi Daerah Linshu ke Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama ekonomi dan industri kreatif antara Kuching Selatan dan Linshu, China.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, berkata pihaknya amat berbesar hati menerima kehadiran Datuk Bandar Hou dan delegasinya sebagai usaha mempererat hubungan dua hala di bawah kerangka sister city serta semangat Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative).

“Lawatan ini bukan sahaja mencerminkan keakraban persahabatan antara kedua-dua bandar, malah menunjukkan komitmen bersama untuk membina kerjasama yang praktikal dan berpandangan jauh,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan rasmi di Dewan Mesyuarat MBKS.
Menurut beliau, Kuching Selatan sebagai hab ekonomi utama di Sarawak memiliki sumber semula jadi yang kaya, rantaian bekalan yang matang, serta ekonomi digital yang pesat membangun, kelebihan yang dapat melengkapi kekuatan Linshu sebagai pusat pembuatan dan kraf anyaman industri terkemuka.
Beliau yakin kedua-dua pihak boleh bekerjasama dalam bidang pemprosesan hasil pertanian, logistik, dan pertukaran industri kreatif bagi mewujudkan peluang baharu yang memberi manfaat kepada ekonomi serta rakyat di kedua-dua wilayah.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerjasama Kraf antara Dewan Perniagaan Kraf Anyaman Linshu dan Persatuan Atelier Sarawak, menjadi mercu tanda penting dalam memperkukuh jalinan industri dan seni kraf tradisional.

Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menubuhkan platform pertukaran teknikal dan mekanisme padanan perniagaan bagi membolehkan penggiat kraf serta usahawan berkongsi pengetahuan, mencipta rekaan baharu, dan menembusi pasaran antarabangsa.
Wee menambah bahawa platform seperti Persidangan Ekonomi dan Perdagangan Linyi–Kuching dapat dimanfaatkan untuk memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelancongan, dan kebudayaan.
“Sarawak amat berbangga dengan warisan dan seni krafnya yang pelbagai daripada anyaman rotan hingga seni manik yang mencerminkan kreativiti serta ketahanan masyarakatnya. Melalui perkongsian ini, kita berharap dapat memelihara seni warisan sambil membuka ruang kepada pembangunan ekonomi kreatif yang lebih mampan,” jelasnya.
Oleh Norman B.