Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kisah nelayan jadi ‘jutawan segera’ setelah temui muntah ikan paus
  • RENCANA

Kisah nelayan jadi ‘jutawan segera’ setelah temui muntah ikan paus

Utusan Sarawak 15 hours ago

SEKUMPULAN nelayan di Yemen menjadi jutawan segera apabila menemui bangkai seekor ikan paus sperma yang mengandungi ambergris.

AMBERGRIS yang dikenali sebagai harta karun laut atau emas terapung merupakan objek melekit menyerupai batu yang dihasilkan di dalam usus ikan paus sperma. 

Ia bernilai tinggi di pasaran dan banyak digunakan dalam pembuatan minyak wangi mewah.

Bagi mereka yang pernah terbaca kisah nelayan di Yemen bernama Fares Abdulhakeem bersama beberapa rakan nelayan pada 2021, tentu akan terkejut berikutan penemuan ‘muntah ikan paus’.

Mereka menemui bangkai seekor ikan paus sperma. Penemuan itu nyata membawa tuah buat diri mereka apabila bangkai itu turut mengandungi ambergris atau lazim disebut ‘muntah’ ikan paus.

Menurut laporan Kosmo bertarikh 2 Julai 2021, penemuan itu mengubah nasib Fares dan rakan-rakan apabila ambergris seberat 127 kilogram (kg) itu kemudian dibeli oleh seorang ahli perniagaan dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan harga lebih AS$1.5 juta (RM6.20 juta).

Menceritakan semula detik-detik itu, menurut Fares, nalurinya kuat mengatakan bangkai tersebut mempunyai ‘sesuatu’ memandangkan ia berbau busuk.

“Saya teringat kata-kata nelayan dulu-dulu yang memberitahu jika anda menemui ikan paus yang terdampar, ia mungkin mengandungi harta karun.

“Kami kemudian memutuskan untuk membawa ikan tersebut ke pantai dan membelah perutnya. Ternyata naluri kami benar apabila melihat ambergris di celahan usus.

“Biarpun memiliki bau yang kurang menyenangkan, tetapi ia begitu bernilai terutamanya buat kami, nelayan di Yemen. Dengan bau busuk itu jugalah hidup kami berubah sekelip mata,” katanya.

Biarpun bergelar jutawan segera, namun Fares dan rakan-rakannya tidak melupakan masyarakat Yemen yang kesusahan lantas menyumbangkan sebahagiannya kepada mereka yang memerlukan, selain membeli bot, membina atau membaiki rumah. Mereka masih meneruskan hidup sebagai nelayan.

Kisah tersebut lantas menjadikan pemuda-pemuda dari selatan Yemen ini popular. Lebih menarik apabila peristiwa yang berlaku itu secara tidak langsung membuka mata orang ramai akan nilai ambergris.

Pun begitu, peristiwa yang berlaku terhadap Fares bukanlah kali pertama dalam sejarah memandangkan sebelum ini, beberapa individu lain pernah dilaporkan menerima tuah sama selepas menemui ambergris.

Ambergris bukan sekadar boleh ditemui di dalam perut paus sperma, bahkan juga boleh ditemui di pesisiran pantai apabila bahan itu dimuntahkan atau dikumuhkan haiwan tersebut lalu terapung, hanyut dan mendarat di pesisiran pantai.

Pada 26 November 2021 pula, seorang lelaki Thailand yang dikenali sebagai Narit Suwansang, 60, bergelar jutawan segera apabila ambergris seberat 100kg yang ditemui di tepi pantai di Nakhon Si Thammarat dibeli pada harga RM13.3 juta (AS$3.2 juta).

Biarpun rupanya seperti batu buruk yang tidak berharga, namun ambergris mempunyai permintaan tinggi dan menjadi buruan para pemain industri minyak wangi di seluruh pelosok dunia terutamanya Perancis, United Kingdom (UK) dan negara-negara Asia Barat yang mempunyai pasaran minyak wangi yang besar.

AMBERGRIS yang berupa seperti batu buruk ini amat didambakan oleh syarikat-syarikat pembuat minyak wangi yang sanggup membayar jutaan dolar kepada siapa sahaja yang menemuinya.

Campuran ambergris pada minyak wangi membuatkan sesuatu haruman tahan lama dan berbau lebih kuat.

Selain minyak wangi mewah, ambergris juga pernah digunakan sebagai agen perasa dalam minuman keras, kopi selain kemenyan bagi masyarakat Cina kuno dan Mesir kira-kira ratusan tahun lalu.

Menurut Ensiklopedia Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, “ambergris” ditakrifkan sebagai “Ambergris iaitu bahan berlilin yang terdapat dalam usus sesetengah ikan paus sperma. 

Ia berbau kuat apabila dikeringkan dan digunakan dalam minyak wangi yang mahal.

BANYAK produk minyak wangi mewah mempunyai ramuan ambergris.

Ambergris ialah bahan semula jadi yang dihasilkan dalam usus ikan paus sperma (sperm whale). Ia terbentuk apabila paus mengeluarkan bahan untuk melindungi ususnya daripada benda keras seperti paruh sotong yang ditelannya.

Ciri-ciri ambergris:

• Berwarna kelabu, hitam atau coklat, teksturnya seperti lilin.

• Mengeluarkan bau yang kuat, tetapi apabila matang baunya menjadi wangi, musky dan menarik.

• Sangat bernilai tinggi kerana digunakan dalam industri perfumesebagai bahan penstabil bau.

Kenapa ambergris mahal?

Sebab ia sangat jarang dijumpai, biasanya ditemui terapung di laut atau terdampar di pantai — bukan sesuatu yang boleh dituai secara sengaja.

Oleh Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Empati dan simpati melahirkan cinta sejati

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.