Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Minat belian terus pacu momentum ringgit, dibuka pada paras 4.15 berbanding dolar AS
  • BISNES

Minat belian terus pacu momentum ringgit, dibuka pada paras 4.15 berbanding dolar AS

Utusan Sarawak 7 hours ago

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum peningkatannya apabila dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, dipacu minat belian berterusan terhadap mata wang tempatan itu ketika unit negara maju berkenaan sebaliknya terus lemah.

Setakat jam 8.01 pagi ini, ringgit meningkat ke paras 4.1540/1660 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1555/1635, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan sentimen positif itu berterusan hari ini dan menyaksikan gandingan dolar AS-ringgit dalam julat 4.15 dan 4.16.

Beliau berkata pada masa sama, aset berisiko seperti pasaran ekuiti juga meningkat malam tadi susulan perbincangan mengenai kemungkinan penutupan kerajaan AS akan berakhir dalam masa terdekat.

“Ini merupakan penutupan kerajaan bagi tempoh paling lama dan dijangka memberi impak negatif terhadap pertumbuhan ekonomi dalam suku akhir 2025.

“Impak yang menjejaskan perkhidmatan kerajaan seperti penerbangan dibatalkan (susulan pengawal trafik udara tidak dibayar gaji dan terpaksa mencari kerja sampingan) serta pengumuman data statistik misalnya, turut mengukuhkan spekulasi penurunan kadar faedah AS pada Disember,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata selepas penutupan kerajaan AS selama 41 hari, Dewan Senat negara itu mengundi 60–40 untuk membuka semula kerajaan yang walaupun tidak menyelesaikan pertikaian fiskal secara meluas, namun tetap melegakan pasaran serta pekerja sektor awam.

“Susulan agensi kerajaan yang akan memulakan semula operasi, penangguhan data ekonomi juga dijangka diumumkan secara berperingkat.

“Laporan pekerjaan bagi September yang sepatutnya diumumkan pada 3 Oktober, dijangka antara yang pertama diumumkan dan memberi gambaran penting mengenai keadaan pasaran tenaga kerja menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan AS (Fed) pada 10 Disember ini,” katanya.

Dalam pada itu, sesi urus niaga awal juga menyaksikan ringgit diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 2.6946/7026 daripada 2.6954/7008, mengukuh berbanding euro kepada 4.8004/8142 daripada 4.8071/8163 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4716/4875 daripada 5.4736/4842 sebelumnya.

Prestasi sama juga dicatatkan ringgit berbanding mata wang ASEAN, termasuk mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1888/1982 daripada 3.1899/1963 semalam, naik berbanding peso Filipina kepada 7.04/7.07 daripada 7.05/7.06 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8360/8819 daripada 12.8367/8670 sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 249.4/250.2 daripada 249.4/250.1, semalam.- Bernama

Continue Reading

Previous: Ringgit melonjak kepada paras 4.16 berbanding dolar
Next: Bursa Malaysia dibuka meningkat seiring prestasi Wall Street

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.