Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Bakat kecil dari Kampung Niup, Qayyum mahu harumkan nama Sarawak di pentas nyanyian
  • INSPIRASI

Eksklusif: Bakat kecil dari Kampung Niup, Qayyum mahu harumkan nama Sarawak di pentas nyanyian

Utusan Sarawak 23 hours ago
NYANYIAN… Muhammad Qayyum Haqimi Mohd Fizal, 11 tahun. Foto Masrin Affirah

KOTA SAMARAHAN: Walaupun baru berusia 11 tahun, Muhammad Qayyum Haqimi Mohd Fizal sudah mula mengorak langkah dalam dunia seni suara dengan impian besar mahu menjadi penyanyi terkemuka yang mampu mengharumkan nama Sarawak.

Minat Qayyum terhadap nyanyian mula berputik sejak 2023, apabila melihat datuknya yang juga seorang penyanyi sering membuat persembahan. 

Dari situlah timbul keinginannya untuk turut mencuba bidang seni suara, sebelum bakatnya terus diasah di bawah bimbingan ayahnya sendiri.

“Mula menyanyi 2023, saya sendiri minat nak nyanyi. Atuk saya inspirasi minat saya menyanyi sebab atuk pun memang menyanyi juga,” katanya dengan senyuman malu-malu ketika ditemui Utusan Sarawak.

Qayyum kini semakin aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di peringkat tempatan dan negeri. 

Antara pencapaian terbesarnya ialah muncul Johan Bintang Cilik anjuran Pejabat Daerah Samarahan selama dua tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan bakatnya semakin menyerlah di peringkat tempatan selain pernah berada dalam kelompok lima terbaik mewakili 46 sekolah di bawah Jabatan Pendidikan.

NYANYIAN… Qayyum bersama ayahnya Mohd Fizal, 38, yang menjadi tulang belakangnya dalam bidang seni. Foto Masrin Affirah

Namun bagi ayahnya, Mohd Fizal, 38, kejayaan Qayyum bukanlah datang secara mudah. Setiap persembahan yang disertai anaknya menuntut masa, latihan dan kesabaran.

“Saya atur masa dia antara belajar dan menyanyi. Kalau dia balik sekolah tak ada kerja rumah, saya akan latih dia nyanyi. Biasanya saya melatih dia menyanyi waktu malam, dua atau tiga kali seminggu,” jelasnya.

Bagi Mohd Fizal yang juga meminati bidang seni, pendekatannya dalam membimbing anaknya bersifat lembut dan seimbang. 

“Walaupun mahu melihat anaknya berjaya, dia tetap memberi ruang kepada Qayyum untuk menikmati zaman kanak-kanak.

“Saya tak nak terlalu memaksa sebab jiwa dia masih budak. Saya selang-selikan masa latihan dengan masa bermain. 

“Tapi saya tetap akan pastikan dia berlatih secara konsisten,” ujarnya.

Qayyum yang gemar membawa lagu-lagu berirama klasik sering menjadi tumpuan setiap kali membuat persembahan. 

Bagi ayahnya, kenangan paling manis adalah ketika pertama kali melihat anaknya berdiri di atas pentas pada usia sembilan tahun.

“Saya rasa sebak tengok dia menyanyi. Bila dia menang atau dapat tempat, saya sangat bangga dan terharu sebab saingannya memang ramai dan hebat-hebat,” tambahnya.

NYANYIAN… Keluarga Qayyum yand turut hadir memberi sokongan dan semangat kepadanya setiap kali membuat persembahan nyanyian atau bertanding. Foto Masrin Affirah

Lebih membanggakan, minat Qayyum terhadap nyanyian turut membawa nilai positif dalam kehidupannya. 

Bagi Mohd Fizal, aktiviti seni yang diceburi anaknya sedikit sebanyak menjauhkan Qayyum daripada pengaruh negatif media sosial yang semakin meluas dalam kalangan generasi muda masa kini.

“Sekurang-kurangnya bila dia aktif menyanyi, dia tak terjebak benda tak baik. Saya ajak dia menceburi bidang seni sebab saya pun minat benda ni,” luahnya.

Menyedari jalan seni bukan mudah, Qayyum tetap berpegang pada pesanan yang penuh makna.

“Kalau kalah, jangan putus asa. Kalau menang, jangan cepat rasa bangga. Jadilah seperti padi, semakin berisi semakin menunduk,” katanya tenang.

Di sebalik suara kecilnya, tersimpan tekad besar untuk membawa nama Sarawak ke pentas nyanyian yang lebih luas suatu hari nanti, demi membanggakan ibu bapa dan keluarganya di Kampung Niup.

Oleh Masrin Affirah

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Perginya pejuang ilmu, UTS anugerahkan Ijazah Anumerta kepada John Jerel
Next: Selepas 10 tahun pengajian, lawan kanser tahap empat Dr Fadhilahanim akhirnya genggam PhD

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.