
LIMBANG: Pembangunan secara bertanggungjawab dengan memastikan kelestarian alam sekitar terus terjamin merupakan agenda kerajaan Sarawak secara konsisten.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata Sarawak melaksanakan pelbagai dasar dan undang-undang berkaitan alam sekitar termasuk keperluan menjalankan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi setiap projek pembangunan yang berpotensi memberi impak kepada ekosistem setempat.
“Langkah ini penting bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara terancang tanpa merosakkan sumber semula jadi yang menjadi warisan generasi akan datang.
“Namun begitu, dasar dan undang-undang sahaja tidak mencukupi jika tidak disertai dengan tindakan dan kesedaran masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Alam Sekitar, Keselamatan dan Kebersihan Sungai bersama Komuniti anjuran Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak di Rumah Tom, Tanah Merah, Nanga Medamit, semalam.
Hadir sama wakil NREB Sarawak, Weety Martin dan wakil Lembaga Sungai-Sungai Sarawak Muhammad Ariffin Bujang.
Paulus menambah, kekayaan biodiversiti Sarawak seperti hutan tropika, tanah subur dan sungai yang menjadi sumber kehidupan masyarakat bukan sahaja perlu dihargai malah mesti dilindungi daripada ancaman pencemaran serta perubahan iklim yang semakin ketara.
“Perubahan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau panjang dan banjir mendadak kini turut memberi kesan langsung kepada hasil pertanian, keselamatan komuniti dan sumber makanan,” jelasnya.
Tambahnya, golongan belia menjadi ejen perubahan melalui penglibatan dalam program gotong-royong, inisiatif pemuliharaan serta penyebaran mesej kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar melalui media sosial.
Beliau menggesa komuniti di Rumah Tom dan penduduk Nanga Medamit memainkan peranan aktif dalam menjaga kebersihan sungai, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengamalkan pengasingan sisa dan mengelakkan pembakaran terbuka.
Oleh Adeng Edrus