
BINTULU: Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching memperkukuh usaha membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi pelaksanaan Ops Gegar dan Ops Sapu yang dijalankan dari 8 hingga 10 November.
Operasi selama tiga hari itu melibatkan pemeriksaan di beberapa premis hiburan utama di Bandar Miri serta rumah pekerja kilang papan di Pekan Tatau di sini.
Menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, seramai 145 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.


Antara individu yang diperiksa dalam Ops Gegar dan Ops Sapu oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching rumah pekerja kilang papan di Pekan Tatau, Bintulu. Foto JIM Sarawak
Hasil pemeriksaan mendapati 102 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua mereka kini ditahan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Selain itu, empat majikan turut diberikan notis hadir ke pejabat Imigresen bagi tujuan memberi keterangan dan membantu siasatan berkaitan penggajian warga asing tanpa dokumen sah.
JIM Sarawak menegaskan bahawa operasi sedemikian akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi dan keselamatan negeri terjamin.