
PETRA JAYA: Sebuah keluarga lapan beranak di Jalan Camar, di sini kini terpaksa menjalani kehidupan serba kekurangan apabila tinggal di rumah separuh siap tanpa kemudahan asas termasuk bekalan elektrik.
Ketua keluarga, Julaihi Osman, 42, yang bekerja sendiri sebagai mekanik, berusaha keras menyara isteri serta enam anaknya dengan mengambil upah membaiki kereta penduduk kampung berhampiran.
Selain itu, beliau turut melakukan pelbagai kerja sambilan seperti memotong rumput dan menjual batang kayu yang dijadikan joran buatan tangan bagi menampung keperluan harian keluarga.
Bagaimanapun, pendapatan tidak menentu menyebabkan Julaihi masih bergelut untuk menyiapkan rumah yang dibina lebih 10 tahun lalu di atas tanah miliknya sendiri.
Rumah berasaskan batu bata itu masih belum diplaster, tidak mempunyai tingkap di dapur, manakala bilik airnya pula tidak berdinding sepenuhnya selain mengalami kebocoran di beberapa bahagian bumbung.
Lebih menyedihkan, keluarga itu juga tidak mempunyai bekalan elektrik dan hanya bergantung kepada bateri kereta sebagai sumber tenaga, yang perlu dicas dengan menghidupkan enjin kenderaan setiap kali kehabisan kuasa.
Anak sulungnya, Juhaini, 18, yang baru menamatkan persekolahan kini sedang mencari pekerjaan dan bercita-cita memulakan perniagaan bakeri dari rumah suatu hari nanti.
Prihatin terhadap nasib keluarga tersebut, Hope Place Kuching atau Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (PKHK) tampil menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan asas serta kelengkapan sekolah kepada anak-anak Julaihi.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Hope Place di talian 082-505987 atau 013-5672775, atau menyalurkan sumbangan terus ke akaun Maybank 511289001160.
Resit sumbangan akan dikeluarkan atas permintaan, dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman Facebook rasmi Hope Place Kuching atau kod QR Sarawak Pay / S PAY Global yang disediakan.