
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak kini dalam peringkat akhir perancangan bagi melancarkan operasi AirBorneo, dengan pelaksanaan dijangka bermula tahun hadapan selepas semua keperluan peraturan penerbangan dipenuhi.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Air Borneo Holdings Sdn Bhd, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, industri penerbangan memerlukan pematuhan ketat terhadap pelbagai keperluan kawal selia yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum sesuatu syarikat boleh beroperasi.
“Industri penerbangan ini bukan seperti industri biasa kerana ia melibatkan banyak perkara berkaitan undang-undang dan keselamatan.
“Setelah semua keperluan yang ditetapkan oleh CAAM dipenuhi, insya-Allah seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Premier, AirBorneo akan mula beroperasi tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan SCS R&DO Samarahan di Auditorium Pertubuhan Peladang Sarawak, hari ini.
Tambah beliau, peringkat awal operasi AirBorneo akan menumpukan kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang diambil alih daripada MASwings sebelum diperluas kepada perkhidmatan serantau (regional airline).
“Pelaksanaan ini perlu dibuat secara berhati-hati kerana ia melibatkan banyak keperluan kawal selia.
“Pada masa ini masih dalam perbincangan, namun hasrat kita adalah untuk menyerap semua kakitangan MASwings.
“Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan dengan teliti supaya tidak menjejaskan operasi sedia ada,” jelasnya.
Menyentuh mengenai jumlah pesawat yang akan digunakan oleh AirBorneo, beliau menjelaskan bahawa butiran tersebut belum dapat didedahkan buat masa ini.
AirBorneo merupakan inisiatif strategik kerajaan Sarawak bagi memperkukuh rangkaian perhubungan udara domestik dan serantau yang dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat Sarawak.
Syarikat penerbangan ini berperanan menyokong pertumbuhan ekonomi serta sektor pelancongan negeri melalui sistem pengangkutan udara yang lebih efisien dan mampan.
Oleh Masrin Affirah