
BATU NIAH: Biro Wanita memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada keharmonian komuniti serta pengukuhan perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi.
Bukan sekadar melaksanakan aktiviti sosial, Biro Wanita turut menjadi platform penyatuan masyarakat dengan menghidupkan semangat gotong-royong serta memperkukuh jaringan sokongan keluarga dalam komuniti.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus berkata, peranan tersebut semakin penting dalam situasi masyarakat yang kini cenderung kepada kehidupan digital sehingga menjarakkan hubungan sesama jiran.

“Apabila kita menganjurkan program seperti ini, kita dapat berkumpul, bermain, memasak dan belajar bersama. Inilah harapan kita agar hubungan komuniti terus terjalin erat.
“Sebab itu, setiap tahun saya memberikan peruntukan RM3,000 kepada setiap Biro Wanita di kawasan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program komuniti anjuran Biro Wanita Kampung Bukit Bom, Niah, semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, setakat ini, terdapat 112 Biro Wanita di sini dengan melibatkan peruntukan lebih RM300 ribu.
“Penyaluran peruntukan tersebut membolehkan aktiviti Biro Wanita dilaksanakan secara konsisten dan memberi manfaat besar kepada kesejahteraan masyarakat, terutama wanita di luar bandar.
“Setiap program bukan hanya bertujuan untuk berhibur, tetapi menjadi ruang memperkasakan wanita dalam kemahiran, kepimpinan dan penyertaan dalam pembangunan komuniti.

“Ini kerana wanita merupakan tulang belakang keluarga dan masyarakat, sekali gus memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi setempat,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Gerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim, Ketua Kampung Bukit Bom (KK) Sapri Noh dan Ketua Biro Wanita Bukit Bom Hajijah Ismail.
Oleh Adum Liu