Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Eksklusif: Kejayaan hasil usaha gigih dan semangat tidak putus asa
  • INSPIRASI

Eksklusif: Kejayaan hasil usaha gigih dan semangat tidak putus asa

Utusan Sarawak 15 hours ago
PENERIMA Anugerah Canselor, Jacky Jong Jun Ming (kanan) dan penerima Anugerah Pro-Canselor, Mutiara Jacquelina Jupri (kiri) bergambar bersama selepas Istiadat Konvokesyen Ke-27 Kolej Universiti i-CATS, di Kuching, hari ini. Foto Shikin Mahmud

KUCHING: Kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya lahir daripada usaha gigih dan keazaman tinggi — itulah semangat yang dizahirkan dua penerima anugerah tertinggi sempena Istiadat Konvokesyen Ke-27 Kolej Universiti i-CATS, di sini, hari ini.

Penerima Anugerah Canselor, Jacky Jong Jun Ming, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian) dengan PNGK 3.99, menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan itu yang disifatkannya sebagai hasil kerja keras serta sokongan berterusan daripada ibu bapa.

“Saya berasal dari Kampung Buntal. Walaupun ibu bapa saya hanya bekerja sebagai pekebun dan hidup sederhana, mereka tetap mendorong saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Kini bekerja di Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Jacky berkata anugerah tersebut membuktikan segala usaha dan pengorbanannya selama ini berbaloi.

“Anugerah ini menandakan segala kerja keras saya, termasuk belajar hingga lewat malam, tidak sia-sia. Saya amat berterima kasih kepada pensyarah yang sentiasa membimbing dan memberi tunjuk ajar,” ujarnya.

PENERIMA Anugerah Canselor, Jacky Jong Jun Ming, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Kepujian) dengan PNGK 3.99, bergambar selepas Istiadat Konvokesyen Ke-27 Kolej Universiti i-CATS, di Kuching, hari ini. Foto Shikin Mahmud

Menurutnya, pembelajaran bukan sekadar mengejar keputusan cemerlang, tetapi turut melibatkan pembangunan kemahiran insaniah dan komunikasi yang penting untuk masa depan.

“Belajar bukan hanya untuk dapatkan gred A. Kita juga perlu aktif menyertai program luar kerana di situlah kita belajar kemahiran sebenar,” katanya yang bercadang menyambung pengajian di peringkat sarjana selepas menimba pengalaman kerja selama setahun.

Jacky turut menasihatkan pelajar agar memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dalam proses pembelajaran.

“AI hanyalah alat bantu, bukan pengganti kita. Gunakan ia dengan bijak untuk menambah ilmu, bukan mengambil jalan mudah,” katanya sambil mengakui bantuan kewangan daripada Yayasan Sarawak turut membantunya menamatkan pengajian.

Sementara itu, penerima Anugerah Pro-Canselor, Mutiara Jacquelina Jupri, graduan Diploma Pengurusan Hotel dengan PNGK 3.71, turut mencuri perhatian apabila berkongsi kisah ketabahannya menempuh cabaran sebagai pelajar disleksia.

PENERIMA Anugerah Pro-Canselor, Mutiara Jacquelina Jupri, graduan Diploma Pengurusan Hotel dengan PNGK 3.71, bergambar selepas Istiadat Konvokesyen Ke-27 Kolej Universiti i-CATS, di Kuching hari ini. Foto Shikin Mahmud

“Saya sangat terharu dan tidak menjangka akan menerima anugerah ini kerana ramai pelajar lain yang berpotensi besar. Namun, saya buktikan bahawa saya juga mampu berjaya,” katanya penuh syukur.

Menurut Mutiara, cabaran yang dihadapinya tidak pernah mematahkan semangat, sebaliknya menjadi dorongan untuk berusaha lebih keras.

“Saya ada disleksia, jadi saya belajar dengan cara tersendiri. Saya banyak mendengar audio, membaca berulang kali dan mencipta ejaan sendiri untuk faham perkataan yang sukar. Pada mulanya memang susah, tapi lama-lama saya jadi biasa,” ujarnya.

Mutiara turut berkongsi rutin belajarnya yang ketat, di mana beliau sering mengulang kaji pelajaran pada waktu malam sehingga lewat pagi bagi memastikan kefahaman mendalam terhadap setiap topik.

“Biasanya saya belajar dari jam lapan malam hingga satu atau dua pagi. Tapi saya pastikan tidak berlebihan supaya tidak keletihan,” katanya yang kini meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pelancongan di i-CATS.

Beliau berharap kejayaannya menjadi inspirasi kepada pelajar lain agar tidak mudah menyerah walau berdepan kekurangan.

“Bagi saya, tiada yang mustahil jika kita berusaha dan percaya pada diri sendiri,” katanya penuh semangat.

Kisah kejayaan kedua-dua penerima anugerah ini mencerminkan nilai ketabahan, disiplin dan semangat juang tinggi yang menjadi tunjang kepada visi i-CATS University College dalam melahirkan graduan berkualiti serta berdaya saing untuk masa depan Sarawak.

Oleh Adele Rissa & Shikin Mahmud

Continue Reading

Previous: Anak Limbang, Gebriel Padan dapat penghormatan solek pasangan Diraja Selangor
Next: Perginya pejuang ilmu, UTS anugerahkan Ijazah Anumerta kepada John Jerel

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.