Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • SmartBiz Desa buka peluang digital kepada usahawan luar bandar
  • Selatan
  • WILAYAH

SmartBiz Desa buka peluang digital kepada usahawan luar bandar

Utusan Sarawak 15 hours ago
AMANAT…Datuk Rubiah Wang berucap pada perasmian Program SmartBiz Desa @ Kota Samarahan di Kampus INFRA Negeri Sarawak, hari ini.

KOTA SAMARAHAN: Program SmartBiz Desa menjadi platform penting bagi membantu masyarakat luar bandar memanfaatkan teknologi digital dan menjana peluang ekonomi baharu berasaskan pengetahuan, kemahiran serta inovasi.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, menerusi program itu, usahawan luar bandar berpeluang memperkukuh perniagaan dan memperluas pasaran melalui penggunaan teknologi digital.

“Perubahan bukan lagi milik bandar semata-mata, tetapi hak semua rakyat yang berani mencuba dan bersedia menyesuaikan diri,” katanya ketika merasmikan Program SmartBiz Desa @ Kota Samarahan di Kampus INFRA Negeri Sarawak, hari ini.

Menurut Rubiah, Sarawak mempunyai potensi besar dalam bidang keusahawanan luar bandar, termasuk pertanian, pembuatan makanan tradisional dan kraf tangan yang menjadi identiti negeri.

Beliau berkata, perubahan dunia yang pesat menuntut masyarakat menyesuaikan cara berniaga daripada kaedah tradisional kepada platform digital tanpa sempadan.

KENANGAN…Datuk Rubiah Wang bersama tetamu kehormat dan para peserta program merakam gambar kenangan pada perasmian Program SmartBiz Desa @ Kota Samarahan di Kampus INFRA Negeri Sarawak, hari ini.

Rubiah memetik data Jabatan Perangkaan (DOSM) yang menunjukkan ekonomi digital menyumbang 23 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan dijangka meningkat kepada 25 peratus menjelang 2025, manakala nilai transaksi e-dagang mencapai RM1.3 trilion pada 2022.

“Angka ini membuktikan peluang dalam dunia digital amat luas, namun masih ramai usahawan luar bandar belum memanfaatkannya sepenuhnya,” ujarnya.

Seramai 30 peserta terdiri daripada belia, usahawan wanita dan peniaga kecil menyertai program berkenaan yang memberi latihan dalam keusahawanan digital, strategi pemasaran dan pengurusan kewangan dalam talian.

Rubiah turut menekankan peranan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam membina jambatan antara ilmu, kemahiran dan peluang bagi masyarakat luar bandar.

Katanya, pelancaran Pejabat Urusan KPTM Sarawak merupakan langkah penting membawa akses pendidikan tinggi lebih dekat kepada rakyat, selain merancang pembinaan kampus rasmi KPTM Sarawak menjelang 2026 bagi melahirkan pelajar berkemahiran dalam bidang keusahawanan dan teknologi digital.

Beliau turut menyentuh mengenai Insentif Borneo yang diperkenalkan oleh KPTM untuk pelajar Sabah dan Sarawak, meliputi pengecualian yuran pendaftaran, bantuan penerbangan dan kemudahan penginapan.

“Insentif ini mencerminkan komitmen kerajaan memastikan pendidikan tinggi menjadi peluang terbuka kepada semua,” katanya.

Rubiah menegaskan, KKDW bersama agensi seperti MARA, KEMAS dan GIATMARA komited memperkukuh latihan literasi digital agar tiada desa tertinggal dalam arus kemajuan.

“Apabila masyarakat desa celik digital, mereka bukan sahaja mampu menjana pendapatan tambahan tetapi turut menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara,” katanya.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Persatuan Hakka Limbang dekati belia melalui larian santai
Next: Karnival ‘Jom Terpaling Sihat’ pupuk kesedaran komuniti Miri jaga kesihatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.