

ISTANBUL: Pengasas bersama Meta, Mark Zuckerberg dan isterinya mengumumkan di platform media sosial Facebook bahawa mereka akan memulakan inisiatif baharu bagi mengintegrasi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu saintis merawat penyakit, lapor Anadolu Ajansi.
Zuckerberg pada Khamis menegaskan bahawa The Chan Zuckerberg Initiative (CZI) akan memberi tumpuan kepada pembangunan Biohub, sebagai organisasi penyelidikan pertama yang menggabungkan bidang AI termaju dengan biologi.
“Kami sedang menghimpunkan penyelidik AI terkemuka, saintis, kelompok komputer berkapasiti tinggi dan set data sel manusia terbesar bagi membangunkan sel dan sistem imun maya yang dapat membantu memperkembangkan bidang sains,” kata Zuckerberg.
CZI, pertubuhan bukan keuntungan yang diasaskan pasangan Zuckerberg pada 2015, bertujuan menangani pelbagai masalah sosial, daripada mengubati atau mencegah penyakit kepada mempertingkat pendidikan serta memenuhi keperluan komuniti setempat.
Sementara itu, Meta Platforms mengumumkan rancangan untuk melabur AS$600 bilion di AS dalam tempoh tiga tahun akan datang, khusus bagi membangunkan pusat data AI serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Dengan melabur di AS, kami bukan sahaja memajukan teknologi dan infrastruktur AI, tetapi turut mewujudkan peluang pekerjaan, menyokong ekonomi tempatan dan mengukuhkan kepimpinan teknologi Amerika.
“Apabila kepentingan AI semakin meningkat, begitu juga keperluan pusat data. Kami akan terus membina dan memperluas infrastruktur bagi masa depan AI sambil menyokong komuniti yang menjadi tuan rumah kami,” menurut syarikat itu.
Pada Oktober lalu, Meta turut mengumumkan pemberhentian 600 pekerja di unit AI syarikat terbabit.- Bernama-Anadolu