
KUCHING: Polis telah menahan tiga individu tempatan, dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kejadian simbah cat merah yang dikaitkan dengan kegiatan sindiket ‘ah long’ atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata suspek-suspek tersebut telah ditahan semalam susulan siasatan terhadap satu kes di mana cat merah disimbah di salah satu rumah di sini, menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000 kepada mangsa.
“Suspek telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuching hari ini di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama,” katanya.

Alexson berkata ketiga-tiga mereka mengaku bersalah dan telah dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 setiap seorang atau berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada sepuluh bulan.
Beliau turut menggesa orang awam agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha mencegah jenayah.
Segala maklumat boleh disalurkan ke balai polis berdekatan atau Pusat Kawalan Daerah Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng