
SIBU: Sebanyak 246 kes telah didakwa di mahkamah sepanjang Op Tapis Narkotik yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bermula 6 Oktober hingga 6 November.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, berkata daripada jumlah tersebut, satu kes didakwa di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, tujuh kes di bawah Seksyen 39a(1) ADB 1952, 25 kes di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952, seorang di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dan 212 penagih dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Manakala 10 individu masih direman untuk membantu siasatan. Sepanjang operasi ini, seramai lima individu telah dituduh di bawah Seksyen 39c(1) ADB 1952, yang memperuntukkan hukuman lima tahun penjara dan satu sebatan,” jelasnya menerusi kenyataan media hari ini.
Zulkipli berkata, IPD Sibu berjaya menahan seorang di bawah Seksyen 39b ADB 1952, 11 di bawah Seksyen 39a(1) ADB 1952, 27 di bawah Seksyen 12(3) ADB 1952, seorang di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dan 181 penagih dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 256 kes dibuka dengan jumlah tangkapan keseluruhan seramai 221 individu, terdiri daripada 206 lelaki dan 15 wanita, termasuk tiga warga asing. Rampasan dadah pula melibatkan 3,163.55 gram syabu bernilai RM120,214.90,” tambahnya.
Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), akan terus mempertingkatkan usaha membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah digesa menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di 012-2087222 (Bukit Aman) atau 017-59292211 (Sarawak).
Oleh Akun Giman