
ULSAN (Korea Selatan): Tiga pekerja disahkan maut manakala dua lagi dipercayai meninggal dunia selepas ditemukan di bawah runtuhan menara dandang di sebuah loji jana kuasa terma di bandar Ulsan, tenggara Korea Selatan pada Jumaat, dengan dua lagi masih belum dapat dikesan, menurut bomba.
Menurut Agensi Berita Yonhap, menara dandang itu runtuh di loji jana kuasa milik cawangan Ulsan Korea East-West Power Co., sebuah syarikat utiliti milik kerajaan, pada Khamis.
Dua pekerja disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan daripada runtuhan, menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang, menurut bomba. Seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia ketika terperangkap pada hari yang sama.
Usaha menyelamat bagi mengeluarkan dua lagi mangsa sedang dijalankan, namun kedua-duanya dikhuatiri telah meninggal dunia.
Kedudukan tepat dua lagi mangsa yang hilang masih belum diketahui.
Pada awalnya, sembilan pekerja dilaporkan terperangkap, namun dua berjaya diselamatkan lebih awal.
Seorang mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai lelaki berusia 44 tahun, yang disahkan maut kira-kira 5 pagi selepas mengalami serangan jantung ketika pasukan penyelamat cuba mengeluarkannya, kata pegawai Balai Bomba Ulsan Nambu, Kim Jeong-sik, kepada wartawan.
“Seorang anggota penyelamat menyuntiknya dengan ubat tahan sakit dan mengambil langkah untuk memastikan dia kekal hangat, namun dia akhirnya meninggal dunia,” kata Kim.
Bomba terpaksa melalui runtuhan keluli dan serpihan setebal kira-kira 30 meter untuk sampai ke lokasi kejadian.
Menara setinggi 60 meter itu dan dilaporkan sedang dalam proses perobohan menggunakan bahan letupan ketika insiden berlaku.
Mangsa yang terperangkap dipercayai semua pekerja syarikat subkontraktor.- Bernama-Yonhap