
PETRA JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) melihat potensi besar untuk Sarawak memperluas penglibatan dalam pasaran modal negara, termasuk kemungkinan penyenaraian syarikat milik kerajaan Sarawak pada masa akan datang.
Pengerusinya, Dato Mohammad Faiz Azmi berkata, pihak beliau telah berbincang dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai perkara itu termasuk laporan media baru-baru ini mengenai kemungkinan Sarawak Energy Berhad (SEB) disenaraikan dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Jadi kami datang untuk mengesahkan bahawa perkara itu merupakan sebahagian daripada perancangan dan sama ada terdapat aset lain di Sarawak yang berpotensi untuk disenaraikan.
“Kami juga berbincang mengenai rancangan beliau serta anak syarikat kerajaan yang mungkin akan disenaraikan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan turut melibatkan isu pembiayaan projek infrastruktur di Sarawak yang sebahagiannya sudah memanfaatkan pasaran modal.
“Setakat ini, nilai keseluruhan pasaran modal Malaysia adalah sekitar RM4.1 trilion dan kami kini melawat negeri-negeri untuk melihat sama ada mereka berminat memanfaatkan pasaran ini dengan lebih aktif, sama ada melalui penyenaraian atau terbitan bon,” ujarnya lagi.
Selain itu, Mohammad Faiz mendedahkan pertemuan tersebut turut menyentuh mengenai pelaksanaan levi karbon di Sarawak dan hubungannya dengan dasar persekutuan serta peranan pengawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM).
“Dalam banyak bidang kuasa lain, kredit karbon dikategorikan sebagai sekuriti dan dikawal selia oleh badan seperti kami. Maka, kami turut berbincang tentang pendekatan Sarawak dalam hal ini,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan kekaguman terhadap kejelasan visi pembangunan Sarawak yang menurutnya konsisten dan berasaskan pelan jangka panjang yang kukuh.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Komunikasi Strategik SSM Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, Ketua Pegawai Kemapanan Neetasha Rauf dan Pengarah SSM Shahrul Amry Abd Malek.
-UKAS