

SARATOK: Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah sawit milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) di Blok 21, Fasa 5 Lubok Renit, Jalan Temudok.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Maggie berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan semalam kira-kira 11.50 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Saratok oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok.
“Hasil tangkapan membawa kepada rampasan beberapa barangan termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, dua tandan buah sawit, batang besi ‘loading spike’, dan resit baucar bayaran jualan sawit daripada sebuah syarikat tempatan atas nama suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Mathew, siasatan mendapati suspek bersama seorang rakan telah mencuri buah sawit di kawasan ladang berkenaan pada 5 November, sebelum menjual hasil curian itu di sebuah ramp sawit di Saratok.
“Suspek mengaku sudah beberapa kali melakukan kegiatan mencuri sawit di ladang yang sama. Wang hasil jualan sawit pula digunakan untuk membeli bekalan dadah,” jelasnya.
Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine, selain mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Polis Saratok menggesa masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah agar tindakan segera dapat diambil bagi membanteras kes kecurian hasil pertanian di kawasan itu.
Oleh Adi Safarman