Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak Energy perkukuh komitmen pembangunan hidrokuasa lestari dan keselamatan empangan
  • TEMPATAN

Sarawak Energy perkukuh komitmen pembangunan hidrokuasa lestari dan keselamatan empangan

Utusan Sarawak 14 hours ago
RASMI… Datuk Ibrahim Baki merasmikan ICDSME 2025 bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

KUCHING: Sarawak Energy Berhad terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan hidrokuasa lestari, keselamatan empangan serta inovasi tenaga boleh diperbaharui menerusi penyertaan aktif dalam Persidangan Antarabangsa mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME) 2025 yang berlangsung di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, dalam ucaptama bertajuk ‘Hidrokuasa Lestari dan Keselamatan Empangan dalam Peralihan Tenaga Sarawak’, menegaskan bahawa tenaga hidro merupakan tunjang utama kepada sistem tenaga boleh diperbaharui Sarawak yang membekalkan tenaga elektrik boleh dipercayai, mampu milik serta rendah karbon bagi menyokong pertumbuhan mampan negeri ini.

Menurutnya, tiga stesen janakuasa hidro utama Bakun (2,520MW), Murum (944MW) dan Batang Ai (94MW) kini menjadi tulang belakang kepada kapasiti penjanaan Sarawak dengan sumbangan melebihi 60 peratus, manakala projek hidroelektrik Baleh (1,285MW) yang sedang dibangunkan akan mengukuhkan lagi bekalan tenaga masa hadapan.

UCAPAN… Datuk Sharbini Suhaili menyampaikan ucaptama beliau pada ICDSME bertajuk: “Hidrokuasa Lestari dan Keselamatan Empangan dalam Peralihan Tenaga Sarawak.”

“Sarawak Energy komited untuk melaksanakan pembangunan hidrokuasa yang menepati piawaian tertinggi dari segi tanggungjawab alam sekitar dan sosial, sejajar dengan rangka kerja antarabangsa serta piawaian pelbagai pihak berkepentingan di bawah Perikatan Kelestarian Hidrokuasa (HSA),” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hanya hidrokuasa mampan yang boleh diterima selaras dengan Deklarasi San José mengenai Hidrokuasa Lestari, di mana aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menjadi pertimbangan utama dalam setiap projek Sarawak Energy.

Dalam pada itu, Datuk Sharbini berkata, syarikat turut melaksanakan Sistem Pengurusan Pelepasan Air Dinamik (DWDM) bagi empangan Bakun, Murum dan Batang Ai.

Sistem ini menggabungkan ramalan cuaca serta aliran masuk air dengan data operasi masa nyata bagi mengoptimumkan pengurusan sumber air dan memastikan paras takungan berada pada tahap selamat.

JONNY Wong Kwei Ji menyampaikan ucapan alu-aluan beliau.

Beliau menambah, keselamatan empangan kekal sebagai keutamaan operasi, sejajar dengan piawaian antarabangsa seperti Suruhanjaya Antarabangsa bagi Empangan Besar (ICOLD) dan Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS).

“Keselamatan ialah keutamaan kami. Menjamin keselamatan empangan amat penting bukan sahaja bagi kebolehpercayaan dan daya tahan sistem tenaga hidro Sarawak, tetapi juga demi perlindungan komuniti serta alam sekitar,” tegasnya.

Pada Majlis Makan Malam Rasmi Persidangan ICDSME 2025, Sarawak Energy menerima Anugerah Pengendali Empangan Terbaik bagi Empangan Bakun di bawah Program Keselamatan Empangan daripada Jawatankuasa Kebangsaan Malaysia bagi Empangan Besar (MYCOLD) sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam operasi, penyelenggaraan dan prestasi keselamatan empangan.

KETUA Pegawai Eksekutif SEB Power, Ir. Bunyak Lunyong (dua dari kiri), mewakili Sarawak Energy menerima Anugerah Pengendali Empangan Terbaik bagi Empangan Hidroelektrik Bakun di bawah Program Keselamatan Empangan daripada MYCOLD. Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar (tengah),
Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, semasa Majlis Makan Malam Rasmi Persidangan ICDSME 2025.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, dan diterima bagi pihak syarikat oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power, Ir. Bunyak Lunyong.

Persidangan yang bertemakan ‘Keselamatan Empangan: Peralihan Tenaga dan Transformasi Air’ itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & PETROS) yang juga Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki, mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Naib Presiden Bahagian Hidro Sarawak Energy, Jonny Wong Kwei Ji, yang juga Pengerusi Bersama ICDSME 2025, turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada para delegasi.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan oleh pegawai Sarawak Energy meliputi topik berkaitan pengurusan keselamatan empangan, pemantauan paras air, pengurusan sumber dan ketahanan infrastruktur empangan.

ICDSME 2025 turut menampilkan bengkel teknikal, pameran dan sesi poster di samping pembentangan utama oleh wakil Persatuan Empangan Kanada (CDA), Jawatankuasa Kebangsaan Australia bagi Empangan Besar (ANCOLD) serta ICOLD, yang memperkukuh kerjasama dan perkongsian ilmu antarabangsa dalam memajukan pembangunan hidrokuasa yang selamat dan lestari.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Dua mangsa hilang selepas bot karam di perairan Kampung Pueh
Next: Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah singgah luangkan masa di Restoran Haji Bujang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.