Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Operasi bersepadu selamatkan 17 gelandangan di Sibu
  • Tengah
  • WILAYAH

Operasi bersepadu selamatkan 17 gelandangan di Sibu

Utusan Sarawak 8 hours ago
RAKAM KENANGAN…. Fatimah (tiga kanan) bersama yang lain merakam kenangan sebelum memulakan Operasi Bersepadu Menyelamat Orang Papa dan Gelandangan Daerah Sibu semalam.

SIBU: Usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan gelandangan terus diperkukuh apabila seramai 17 individu tanpa tempat tinggal telah diselamatkan dalam satu operasi bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi di beberapa kawasan tumpuan sekitar bandar ini, semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah yang mengetuai operasi itu berkata, daripada jumlah tersebut, 12 merupakan lelaki manakala lima lagi wanita.

Beliau berkata, sejak Januari hingga November tahun ini, sebanyak 42 gelandangan dan orang papa dikenal pasti di sekitar Sibu, dengan 17 daripadanya kini ditempatkan di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu bagi menerima perlindungan dan bimbingan lanjut.

PUJUK… Fatimah (tengah) sedang memujuk salah seorang gelandangan agar menerima bantuan dan perlindungan sementara di Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu.

“Bagi keseluruhan Sarawak, sebanyak 136 kes direkodkan bagi 2024 hasil daripada 74 operasi menyelamat dan cerapan gelandangan yang dijalankan secara bersepadu serta bersasar.

“Sibu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 48 orang, diikuti Bintulu (24), Kuching (22) dan Miri (16),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Operasi Bersepadu Menyelamat Orang Papa dan Gelandangan Daerah Sibu.

Fatimah menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berusaha membantu golongan ini membina semula kehidupan mereka melalui pelbagai intervensi sosial termasuk latihan kemahiran, padanan pekerjaan dan bantuan sewa rumah.

“Kita mahu mereka hidup bermaruah, bukan bergantung kepada sedekah. Ada antara mereka telah dilatih, dibantu mendapatkan pekerjaan serta menerima bantuan sewa rumah daripada pihak berkuasa tempatan,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan negeri kini mempunyai dua TTG masing-masing di Sibu dan Kuching yang beroperasi mengikut konsep transit, manakala TTG Miri dan Bintulu masih dalam proses penubuhan.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai keluarga atau tempat perlindungan, TTG berfungsi sebagai pusat sementara untuk mendapatkan makanan, mandi, menukar pakaian dan tidur dengan selamat,” tambahnya.

Fatimah turut menegaskan bahawa usaha bersepadu seumpama ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tiada rakyat Sarawak yang hidup merempat di kaki lima tanpa perlindungan dan sokongan sosial.

Operasi tersebut disertai pelbagai agensi termasuk Pejabat Residen Sibu, Pejabat Daerah Sibu, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu, Agensi Antidadah Kebangsaan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, Hospital Sibu, Angkatan Pertahanan Awam, Majlis Perbandaran Sibu, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, sukarelawan kebajikan serta petugas TTG Sibu.

Oleh Tarani Lanting

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Bomba tangkap anak biawak sembunyi bawah katil
Next: Projek perparitan Rumah Mering Eba dijangka kurangkan risiko tanah runtuh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.