
KUCHING: Dua lelaki masing-masing didenda RM50,000 atau dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan mencuri elektrik di sebuah premis komersial di Jalan Tondong-Batu Kawa di sini pada Ogos lepas.
Mazuan Muhamad Muslim Marius, 25, dan Vinchy Yap, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Saiful Bahari Adzmi.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa mengikut Seksyen 33(3) Ordinan Elektrik (Bab 50) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu mengganggu pemasangan elektrik yang disambung ke meter lain dan suis utama sehingga menimbul bahaya kepada peralatan berlesen.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kesalahan itu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 33(7)(a) Ordinan Elektrik (Bab 50) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu memasang kabel sambungan terus yang mengganggu sambungan meter, dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan ke atas setiap tertuduh.
Mengikut pertuduhan ketiga, mereka didakwa mengikut Seksyen 33(9)(b) Ordinan Elektrik (Bab 50) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja memutuskan bekalan elektrik untuk menyalurkan tenaga secara haram ke meter lain, dan setiap tertuduh didenda RM25,000 atau penjara enam bulan.
Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik (Bab 50) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana mengusik alat elektrik yang disambungkan kepada meter dan suis utama sehingga menghalang rakaman penggunaan tenaga yang tepat.
Bagi kesalahan ini, kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM20,000 atau penjara enam bulan.
Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan antara 10.30 pagi dan 2.04 petang pada 20 Ogos lepas.
Terdahulu, peguam Clement Wong dan Christopher Chin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan mereka adalah pesalah pertama dan telah bertindak atas arahan majikan yang masih bebas.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan mencuri elektrik di premis komersial adalah kesalahan yang serius.
-BERNAMA