
PUTRAJAYA: Sebanyak 5.5 juta saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan jalan raya masih belum dijelaskan setakat ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3.68 juta saman dikeluarkan di bawah notis JPJ P(22) manakala 1.38 juta lagi membabitkan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS).
Sehubungan itu, Loke menggesa orang ramai yang mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang menyelesaikannya melalui tawaran diskaun 50 peratus yang diberikan JPJ mulai 1 Nov hingga 30 Dis ini bagi mengelakkan tindakan mahkamah atau disenarai hitam Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Bermula 1 Jan depan, bagi kes yang perlu ke mahkamah, kita akan ke mahkamah, kalau tidak kita akan terus senarai hitam LKM, maksudnya tidak boleh perbaharui cukai jalan… sekiranya kesalahan melibatkan pemandu, kita akan senarai hitam lesen memandu juga tetapi biasanya, saman JPJ lebih kepada kesalahan kenderaan,” katanya.
Loke berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan sambutan Deepavali anjuran kementerian itu di sini hari ini.
Mengulas mengenai perbezaan kadar diskaun antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan diskaun 70 peratus, Loke berkata JPJ mengekalkan kadar 50 peratus kerana diskaun sama telah diberikan bagi tiga jenis kesalahan sejak awal tahun ini.
“Sebelum ini, kita beri diskaun 50 peratus untuk saman AwAS, Notis Temu Siasat dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23, jadi tidak adil untuk mereka yang dah bayar,” katanya.
Beliau juga berkata dalam tempoh empat hari pelaksanaan diskaun terbaharu, JPJ berjaya mengutip sebanyak RM7.36 juta bagi 56,156 saman yang dibayar.
Sebelum ini, Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa kadar serta kaedah kompaun saman trafik JPJ dan PDRM akan diselaras bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang jalan raya.
Melalui penyelarasan itu, pesalah yang membuat bayaran dalam tempoh 1 hingga 15 hari selepas tarikh notis akan menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus, 33 peratus bagi bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari, kadar maksimum bagi tempoh 31 hingga 60 hari manakala selepas 61 hari, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dikenakan.
-Bernama