
KUCHING: Sarawak memerlukan lebih ramai penyelidik dalam bidang pertanian bagi memastikan sektor itu dapat berkembang secara lebih efisien dan lestari.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata penyelidikan merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran.
“Pertanian boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, namun untuk memastikan hasil yang baik, kita perlu mempunyai kualiti penyelidikan yang tinggi.
“Sebagai contoh dalam bidang akuakultur, penyelidik boleh menambah baik kualiti anak ikan, manakala dalam sekor tanaman, penyelidikan boleh meningkatkan mutu benih bagi menghasilkan buah yang lebih baik. Saya berharap Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) memberi perhatian terhadap aspek ini. DOA kini mempunyai 37 penyelidik, manakala dalam bidang akuakultur kita hanya memiliki empat penyelidik. Perjalanan kita masih jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sarawak (IPS) ke-20 di sini, hari ini.
Dr Rundi berkata kerajaan negeri turut meneroka pendekatan baharu untuk menarik minat lebih ramai golongan muda menyertai sektor pertanian.
“Untuk mencapai hasrat ini, kita perlu menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dengan penggunaan teknologi baharu seperti Internet Kebendaan (IoT) serta pertanian pintar dan tepat.
“Dengan teknologi ini, mereka tidak semestinya berada di ladang atau kebun sepanjang masa. Kawalan pemberian baja, air dan pelbagai aspek lain boleh dilakukan dari jauh melalui sistem berteknologi,” katanya.
-Bernama