
KAPIT: Kapit kini menikmati kemajuan pesat hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan strategik yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak dan agensi pelaksana seperti Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara projek utama yang sedang dijalankan ialah projek naik taraf bekalan air bernilai RM1.96 bilion, diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak, selain tambahan RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
“Peruntukan ini akan memastikan penduduk Kapit mendapat bekalan air bersih yang mencukupi dan berkualiti. Kita mahu memastikan rakyat di kawasan luar bandar menikmati kemudahan asas yang sama seperti di kawasan bandar,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan dan Pembangunan Negeri di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, selain projek bekalan air, kerajaan Sarawak juga telah meluluskan RM122 juta bagi pembinaan jalan penempatan baharu di Merirai yang dijangka dimulakan pada 2026.
“Kerajaan Sarawak turut membangunkan beberapa jalan utama termasuk jalan penghubung ke Empangan Hidroelektrik Baleh serta ke rumah panjang di sepanjang Sungai Baleh bagi memastikan mobiliti penduduk dan akses kepada peluang ekonomi dapat dipertingkatkan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi berkaitan menunjukkan kemajuan yang memuaskan, dengan jumlah keseluruhan peruntukan infrastruktur mencecah RM400 juta.
“Fasa pembangunan seterusnya di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan memberi tumpuan kepada aspek sosioekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Kita mahu lebih banyak aktiviti ekonomi yang dapat menjana pendapatan isi rumah.

“Antara inisiatif sosioekonomi yang dicadang termasuk penanaman pokok ensurai di kawasan tebing sungai yang boleh dijadikan sumber makanan kepada ikan, selain membantu komuniti luar bandar menjana pendapatan tambahan,” ujarnya.
Abang Johari turut memaklumkan bahawa suntikan kewangan pusingan kedua berjumlah RM1.5 bilion akan disalurkan kepada agensi pelaksana untuk meneruskan projek strategik di bawah fasa pembangunan seterusnya.
“Menjelang 2030, kita yakin segala perancangan ini akan membuahkan hasil dan membawa kemakmuran kepada rakyat Sarawak, khususnya di Kapit,” ujarnya lagi.
Abang Johari turut menekankan kepentingan memperkasa generasi muda melalui pendidikan dan kemahiran digital.
“Kita mahu generasi baharu yang berpendidikan dan mampu menggunakan teknologi bagi menambah baik ekonomi keluarga dan komuniti,” katanya.
Abang Johari turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus memajukan kawasan pedalaman agar selaras dengan aspirasi Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Turut hadir Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta yang lain.
Oleh Akun Giman