BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menegaskan tiada apa yang akan berlaku di antara rakyat negara itu dengan Parti Komunis yang sudah memerintah mereka sejak lebih 70 tahun, sekaligus ia sebagai nada tegas terhadap Amerika Syarikat (AS).
Bercakap pada satu majlis ulang tahun kemenangan China ke atas Jepun pada Perang Dunia Kedua (WWII), Jinping turut menyenaraikan bahagian mana negara itu tidak memerlukan campur tangan luar, malah memberi amaran terhadap ancaman kepada kepada Parti Komunis China (CCP).
“Rakyat China tidak akan membenarkan individu atau pihak tertentu untuk memisahkan CCP dan rakyat atau untuk melaga-lagakan mereka.
“Rakyat China juga tidak akan membenarkan sesiapa pun untuk memutar-belitkan sejarah CCP dan memfitnah karakter atau tujuan CCP,” kata Jinping
Beliau bagaimanapun tidak merujuk kepada AS dalam ucapannya itu, yang banyak memfokuskan penyatuan negaranya.
Bagaimanapun, ia boleh diterjemahkan sebagai mesej ekoran ketegangan hubungan dengan AS, malah ia memberi nada tegas kepada media tempatan dan pegawai muda terhadap hubungan membabitkan negara itu dari segi isu perniagaan, teknologi serta isu Laut China Selatan.
Nada ucapan sedemikian sering kali diucapkan dalam berpolitik sebagai kenyataan serius pemimpin China terhadap ancaman luar terhadap pemerintahan mereka.
Beberapa bulan sebelum ini, diplomat China menegur Setiausaha Negara AS, Michael Pompeo, yang sentiasa merujuk kepada CCP, bukannya negara China dalam serangannya.
Diplomat terbabit juga mengancam ‘akan berlaku implikasi’ kepada negara lain dari Norway dan Republik Czech sehingga ke Britain akibat provokasi itu.
Pemimpin China itu menegaskan mereka berupaya untuk berdepan pencerobohan luar sejak mereka memenangi WWII.
Malah, Jinping berkata, hubungan China dan Jepun sebagai jiran dekat juga kekal aman untuk kemakmuran rakyat kedua-dua negara, yang mana ia penting untuk mereka mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia serta dunia.
Pada majlis itu, Jinping memberi penghormatan kepada veteran dan pejuang yang berperang, termasuklah rakyat China di dalam dan luar negara yang menyumbang kepada kejayaan negara itu.
Malah, beliau turut memberikan penghargaan sepenuh hati kepada kerajaan luar dan rakan seluruh dunia yang menyokong dan membantu peperangan China menentang penjajahan Jepun. – AFP