Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Penularan dadah ke luar bandar, cari ‘tokan’ sampai dapat, peranan pemimpin masyarakat ditagih
  • KOLUMNIS

Penularan dadah ke luar bandar, cari ‘tokan’ sampai dapat, peranan pemimpin masyarakat ditagih

Utusan Sarawak 10 hours ago

DARI Lundu sampai ke Lawas; Sungai Asap, Belaga tidak ketinggalan; Kini bagaikan merata di luar bandar; Dadah sudah meresap ke Daro, Matu, Pulau Bruit, Sarikei, Bintangor, Mukah, Betong, Saratok, Lubok Antu dan Sri Aman; Di bandar usah disebut – Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, memang sudah lama menjadi kubu.

Itulah senario kes penangkapan penyalahgunaan dadah sekarang ini. Tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menggempur lokasi sarang penagih dadah.

Namun, apabila media melaporkan kes tangkapan dadah ini saban hari sejak kebelakangan ini, ramai nitizen mendesak supaya ‘tokan’ dadah turut diintai, diheret dan diberkas sama kerana dianggap punca pengedaran dadah di luar bandar dan pedalaman negeri ini.

Perkataan ‘tokan dadah’ bermaksud penjual atau pengedar dadah iaitu orang yang menjual, membekal atau mengedarkan bahan terlarang seperti heroin, syabu, ganja, kokain dan sebagainya.

BERDASARKAN trend penyalahgunaan dadah, penggunaan dadah sintetik dilihat lebih tinggi berbanding dadah organik menurut AADK. Foto AFP.

Ada dua kategori. Tokan kecil adalah pengedar kecil yang menjual dadah kepada pengguna di peringkat bawah.

Tokan besar pula pembekal utama atau pengedar besar yang biasanya mengurus bekalan dalam jumlah banyak.

Kepada nitizens yang mungkin tahu lokasi kehadiran ‘tokan kecil’ atau ‘tokan besar’ di kampung dan pekan, laporkanlah terus kepada pihak polis di kawasan masing-masing.

Pihak pemimpin masyarakat seperti penghulu, ketua kaum, tuai rumah dan kapitan Cina boleh memainkan peranan, kerana mereka lebih dekat dengan anak buah di kampung, rumah panjang atau pekan kecil.

“Bila waktu senja, adalah kereta Hilux berwarna hitam menjelma di tepi jalan kampung, bawa ‘bekal’.” Itu antara yang pernah diluahkan oleh orang kampung di luar bandar.

Oleh itu, pemimpin masyarakat di setiap kampung dan pekan perlu mengawasi keadaan sekitar dan melaporkan segera kepada pihak polis jika terlihat pergerakan pelik atau orang luar datang ke kawasan mereka.

Sudah semestinya, pemimpin masyarakat ini akan tahu (kecuali buat-buat tak tau), ‘muka dadah’ dalam kalangan masyarakat terutama golongan belia.

WARGA EMAS PUN MENAGIH

Tetapi jangan terkejut ada juga yang berusia 50-an dan 60-an terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Penulis sendiri ketika berjumpa kawan di Balai Polis di sebuah pekan di luar bandar, pernah ditunjukkan melalui CCTV keadaan dalam lokap.

ALAT digunakan penagih dadah.

Penuh dengan tahanan berkaitan dadah… kebanyakannya orang dewasa termasuk warga emas.

Pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) juga boleh memainkan peranan.

Kita memuji usaha KRT Zon 1 Kampung Muhibbah di Simanggang menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang dilaporkan kerap mengadakan operasi rondaan dalam kawasan kampung pada waktu malam tak kira hujan atau tidak, bagi mencegah sebarang kegiatan jenayah.

Begitu juga di Miri, ada kerjasama antara KRT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengurangkan kejadian jenayah di dalam komuniti seperti Kawasan Rukun Tetangga Skim Rondaan Sukarela Kampung Tudan fasa 2A.

Program sama juga pernah diadakan di kawasan Perumahan Ulu Sungai Merah, Sibu bagi mencegah jenayah di lokaliti dengan kerjasama antara PDRM dan Skim Rondaan Sukarela/Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Nang Sang.

Andai KRT di kebanyakan kampung digerak untuk mengawasi tindak-tanduk mereka yang terbabit dengan dadah ini, sudah pasti akan membantu mengurang, jika tidak menghapuskan gejala tidak sihat ini yang boleh melenyapkan masa depan anak bangsa.

Tentu kita teringat pendedahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Mei lepas mengenai penemuan sarang pengedaran dadah berhampiran Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga, yang amat mengejutkan.

Lebih mengejutkan 40 individu terdiri daripada 34 lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun dikesan positif dadah jenis methamphetamine atau syabu di kawasan pedalaman itu.

Bila melihat saban hari polis membuat tangkapan sejak akhir-akhir ini, bukan bermakna kes dadah mula berleluasa.

HIDUP MEWAH

Mungkin gejala ini sudah berkubu lama tetapi tiada operasi khas atau operasi sekali-sekala. Bila polis mula mengempur, maka nampaknya betapa teruknya permasalahan ini.

SARANG dadah dikenali sebagai ‘Port Bukit’ ditemui dan dimusnahkan AADK Sarawak semasa Operasi Perdana/Bersepadu, di kawasan Sungai Asap, Belaga Mei lepas. Turut serta dalam operasi itu ialah pasukan dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Kapit. FOTO Bernama.

Tetapi bagi sesetengah orang, isu dadah di kawasan luar bandar dan pedalaman bukan lagi mengejutkan, malah sudah berleluasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, meresap dalam komuniti desa termasuk kawasan ladang sawit.

Ini terbukti apabila berlaku tangkapan oleh pihak polis mengenai kegiatan mengedar serta menagih dadah dan ‘jual-beli’ dadah pelbagai jenis terutama syabu di banyak lokasi luar bandar, sesuatu yang hanya kedengaran di kawasan bandar selama ini.

Cuba bayangkan betapa hancurnya perasaan ibubapa apabila anak dicekup polis gara-gara dadah. Ibubapa pula perlu memainkan peranan, mengawasi ketat pergerakan anak mereka, siapa kawan mereka, adakah ‘budak jahat’ atau sebaliknya.

Penulis terbaca komen seorang nitizen dalam FB Utusan Sarawak yang berbunyi: “Ada beberapa pengedar yang jelas telah berjaya naiktaraf kehidupannya dari yang tak punya apa-apa kepada yang dah mampu membina rumah, punya lebih dari sebuah kereta berjenama pula, sedangkan tak ada kerja apa-apa. Apa dah jadi? Fikir-fikirkanlah”.

Berdasarkan hakikat ini, pemimpin masyarakat boleh memainkan peranan untuk memerhati gaya hidup seseorang, lapor kepada pihak berkuasa jika akhirnya terbukti terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Dadah bukan sahaja musuh nombor satu negara tetapi pemusnah masa depan generasi baharu.

Harapan ibubapa untuk melihat anaknya berjaya dalam hidup berkecai apabila terjerumus dalam gejala dadah.

Ibubapa perlu mengawasi tingkah laku anak mereka yang mungkin juga terperangkap dengan rakan sebaya terjebak dengan dadah, tanpa pengetahuan mereka.

Tiada ibubapa yang mahukan anaknya terjebak macam itu tetapi sebaik mengetahui mengenai gejala itu, ia sudah agak terlambat kerana anaknya sudah jauh ketagihan atau mungkin sedang berada di lokap polis.

Kita berharap semua pihak membantu menangani masalah dadah ini terutama ibubapa, pemimpin masyarakat, guru dan orang ramai.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Krisis dalaman Bersatu: Cabaran kepimpinan, masa depan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.